Manchester City kini berdepan perkembangan besar dalam kes pelanggaran peraturan kewangan Premier League selepas sebuah Suruhanjaya Bebas mendapati kelab itu bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka.

Premier League mengesahkan keputusan tersebut selepas proses pendengaran yang mengambil masa kira-kira tiga tahun.

Kes berkenaan melibatkan dakwaan pelanggaran serius peraturan kewangan sepanjang tempoh sembilan musim, dari 2009/10 hingga 2017/18.

Menurut keputusan Suruhanjaya, Manchester City didapati menggunakan beberapa kontrak yang dianggap sebagai ‘sham’ kerana tidak menggambarkan perjanjian sebenar dengan rakan komersial.

Perjanjian berkenaan didapati digunakan untuk meningkatkan hasil kelab secara tidak tepat serta mengurangkan kos yang sepatutnya direkodkan.

Suruhanjaya itu turut mendapati City menyerahkan akaun yang tidak tepat dan gagal mendedahkan keadaan kewangan sebenar kepada juruaudit serta badan bola sepak berkaitan.

Selain itu, kelab tersebut turut didapati melanggar secara signifikan had perbelanjaan yang ditetapkan Premier League dan UEFA.

Menurut Premier League, kelab itu menggunakan kontrak palsu bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi sehingga £900 juta.

Dalam isu berhubung kerjasama dengan siasatan Premier League pula, tiga daripada empat pertuduhan terhadap City kerana gagal memberikan kerjasama telah dikekalkan oleh Suruhanjaya.

Bagaimanapun, keputusan bersalah itu belum membawa kepada hukuman pada ketika ini.

Premier League masih perlu melalui proses seterusnya sebelum hukuman terhadap Manchester City ditentukan.

City juga mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Bebas tersebut dan diberikan sehingga Jumaat, 2 Oktober untuk menggunakan hak berkenaan.

Premier League pula mahu keseluruhan proses, termasuk sebarang rayuan serta penerbitan keputusan berkaitan, diselesaikan secepat mungkin.

Kes ini kini memasuki fasa baharu apabila keputusan bersalah telah diumumkan, namun persoalan terbesar masih belum terjawab: apakah hukuman yang bakal dikenakan terhadap Manchester City?