Seorang pempengaruh media sosial di China bernama, Ouyang Wenjing berdepan dengan masalah kegemukan dan berat badan naik mendadak.

Berat badannya meningkat daripada 60kg kepada 80kg dalam masa setahun. Dan dia menyalahkan persekitaran tempat kerjanya sebagai punca.

Tekanan di tempat kerja telah menjadi punca berat badannya bertambah menurut Wenjing.

Menurut laporan SCMP, di China memang ada isu dengan stres atau tekanan di tempat kerja yang menyebabkan masalah berat badan yang disebut ‘obesiti terlalu banyak kerja’ / ‘overwork obesity’.

Gadis berusia 24 tahun itu menyatakan bahawa persekitaran tempat kerjanya telah mempengaruhi tekanan mental serta memberikan kesan kepada diet dan cara hidup sihatnya sebelum ini.

Dia melabel pengalaman kerjanya di syarikat yang dia tidak mahu dedahkan sebagai ‘mimpi ngeri’.

Wenjing menambah, dia seringkali diberikan bebanan kerja terlalu banyak dan dipaksa bekerja lebih masa dengan shift yang tidak menentu. Membuatkan jadual makannya tidak teratur dan kemudian kerap membeli makanan yang dipesan menerusi penghantar makanan.

Ketika bersekolah dia pernah mengalami masalah berat badan mencecah 105kg. Namun dia berjaya menurunkannya sehingga ke paras 45kg. Ouyang Wenjing kecewa tempat kerjanya sebelum ini telah dianggap mensabotaj usahanya.

Oleh sebab itu dia memutuskan untuk berhenti kerja daripada syarikat tersebut.

Wenjing kini dalam proses untuk menurunkan berat badannya. Dia mengakui sejak berhenti kerja dia sudah berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 6kg.

Ianya hasil daripada usahanya mengubah rutin dietnya dengan mengambil makanan kurang lemak dan kurang gula. Dia fokus kepada makanan berasaskan sayuran, bijirin dan protein.

Ramai yang simpati dengan Ouyang Wenjing. Kerana ramai juga pengikutnya berdepan masalah ‘overwork obesity’. Ini kerana masih banyak syarikat di China yang tidak mengikut peraturan buruh ditetapkan kerajaan China.

Di mana pekerja tidak boleh diarahkan bekerja melebih 40 jam dalam seminggu.

Salah seorang pengikutnya menyatakan bahawa, budaya kerja 996 masih lagi kuat di China. Masuk kerja pukul 9, keluar pukul 9 malam selama enam hari seminggu.

Mereka juga mendedahkan sangat sukar mencari pekerjaan di China yang ada 2 hari rehat dalam seminggu. Jika ada, itu dianggap satu rahmat.

Seorang doktor di China menyatakan bahawa overwork obesity bukan perkara yang remeh.

Doktor Zuo Xiaoxia berkata: “Masalah obesiti lebih kerja ini berlaku kerana seseorang itu kurang tidur, kerap makan lewat untuk makan malam, terlebih makan, ini antara sebab kepada masalah ini.”

Beliau menasihati agar mereka yang bekerja lebih masa ini agar terus menjaga jadual makan mereka dan banyakkan makan sayur, kurangkan makanan daging serta banyakkan bersenam.