Sayang anak atau jaga anak?

Ada dalam kalangan sahabat FB saya yang tahu sejarah hidup saya ketika kecil. Saya kematian ibu ketika berumur 5 tahun.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Sejak itu saya tinggal bersama nenek dan bapa saudara saya. Di rumah itu kami dilatih supaya buat sendiri, cuba buat sendiri untuk kerja-kerja peribadi apabila umur meningkat.

Darjah 1 diajar basuh kasut sekolah sendiri dan kerja-kerja lain. Darjah 2 pula nenek ajar bancuh air sendiri menggunakan air panas dari ‘bocong’ air atau termos. Pada tahun itu juga saya terkena air panas di lengan kiri. Kemudian, saya bancuh sendiri juga.

Selepas makan, basuh pinggan sendiri. Banyak kerja diusahakan sendiri.

Apabila darjah 4, tinggal bersama ayah. Mula belajar seterika baju sekolah sendiri. Itulah realiti anak kehilangan ibu.

Barang kali tidak sihat

Apabila melihat kanak-kanak seusia saya ketika itu, tidak sama dengan apa yang saya lakukan. Makan masih bersuap, sehingga mulut pun ibu tolong lapkan. Beg sekolah ibu mereka yang tolong bawakan. Macam-macam kepelikan yang saya lihat sebagai seorang kanak-kanak ketika itu.

Pernah terlintas di dalam fikiran untuk cuba bersangka baik, ‘Barang kali mereka tidak sihat’. Itu yang terfikir sebagai seorang budak.

Kita menyangka apabila kita melakukan demikian, kita melahirkan rasa kasih sayang kepada anak. Ya, itu kita rasa. Kita tidak tahu apa kesannya apabila anak itu membesar kelak. Kita mungkin sukar bezakan antara sayang anak dan jaga anak.

Sukar untuk kita ramal apa yang akan berlaku. Tetapi kita boleh melihat apa yang telah kita lakukan sekarang kepada mereka.

Lazimnya skrip diri kita adalah ‘Aku tidak mahu anak aku susah seperti aku dulu’. Itu biasanya yang datang dari benak sanubari kita.

Apabila orang bertanya, dengan lancar kita berkata;

“Anak itu kecil lagi, belum faham apa-apa lagi.”
“Biarlah mereka main dulu, nanti besar sudah tidak boleh main begini.”
“Nanti besar sikit kita ajarlah.”

Mengurus hidup perlu masa dan latihan

Melatih anak mengurus hidup sendiri memerlukan masa dan latihan yang betul. Tanamkan dalam hati anak-anak bahawa suatu hari apa sahaja boleh berlaku kepada ibu dan ayah. Jadi, mula berlatih sekarang.

Kita sangka, apa yang kita telah lakukan itu sebagai tanda rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak kita. Tetapi kita tidak tahu kesan yang akan berlaku kepada anak kita itu.

Dalam kisah Si Tanggang, kita tentu menyalahkan Tanggang apabila menderhaka ibunya yang sangat tua. Pernahkah kita bertanya, apa yang telah ibu Tanggang lakukan sehingga anak itu sanggup melakukan demikian?

Ya, kita berusaha menyediakan segalanya kepada anak-anak. Sehingga anak-anak tidak perlu memikirkan apa yang perlu dia lakukan. Soalnya sampai bila kita perlu buat begitu?

John Maxwell berkata, “If you do everything for your children, what will they do for themselves?”.

Apa yang kita lakukan dalam keluarga, kita perlu dapatkan pandangan kedua dan ketiga. Lihat dalam neraca agama. Adakah kita melahirkan seorang anak yang akan berbakti kepada kita di hati tua atau melahirkan tuan kita sendiri?

“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah al-Baqarah ayat 216.