Walaupun sukan Olimpik Paris 2024 sudah berakhir, detik-detik Datuk Azizulhasni Awang tersingkir untuk meraih pingat emas pertama negara masih terpahat di memori rakyat Malaysia.

Dalam satu permohonan maaf dibuat menerusi Facebook, atlet itu mengakui saat-saat beliau disingkirkan, beliau berasa dunia seolah-olah berhenti bergerak.

Baca Juga:

“Sepanjang proses persiapan dan perjalanan ke Paris, saya sentiasa memainkan gambaran yang positif, gambaran yang penamat di Paris akan menjadi sebuah cerita manis buat Malaysia dan khususnya buat karier saya. Namun saya juga terkelu seribu bahasa dengan pengakhiran seperti ini.

“Ketika melihat nama saya dikenakan ‘disqualification’, dunia seolah-olah terhenti. Tubuh badan panas bersedia untuk beraksi tiba-tiba menjadi sejuk kaku. Seluruh velodrome sunyi sepi walaupun hakikatnya penuh dengan sorakan dari penonton yang hadir.

Azizulhasni Perjelas Punca Tersingkir Awal Di Saringan Pertama

“Saya masih tidak mahu berputus asa dan menunggu sebuah keajaiban untuk berlaku. Menantikan dengan penuh harapan senarai nama akhir pusingan ‘repecharge’ keluar untuk memastikan nama saya ada disitu. Namun akhirnya saya kekal kecewa. Langsung saya mengemas beg dan memilih untuk terus beredar dari situ kerana saya tidak dapat menerima hakikat yang perlumbaan akan berjalan tanpa saya turut serta.

Dalam masa sama, beliau merasakan insiden itu berpunca daripada ‘langgar janji’ yang dibuat kepada ibu, isteri dan anak-anaknya.

Menurut Azizul, keluarganya itu pernah memintanya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu.

“Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir ketikamana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu. Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggari permintaan mereka dahulu.

“Dari awal karier sehingga sekarang mereka ini lah sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia,” luah Azizul.

Azizulhasni Tak Mahu Sekadar Jadi Pelengkap Di Sukan Olimpik 2024

Beliau juga berasa sangat sedih melihat reaksi jurulatih John Beasley yang begitu sebak dan tidak dapat menahan emosi beliau ke atas penyingkiran tersebut.

Bagaimanapun Azizul menyatakan beliau sudah berdamai dengan takdir dan menerima kenyataan.

Terdahulu, pelumba berusia 36 tahun itu tersingkir kerana didakwa memotong pacer (basikal elektrik yang berada di hadapan) sebelum pacer meninggalkan trek sekaligus memaksa perlumbaan dimulakan semula tanpa kehadiran beliau.