Sebut mengenai Joko Widodo atau lebih mesra disapa sebagai Jokowi pasti ramai yang mengenalinya. Berjaya memegang tompok pimpinan tertinggi Indonesia iaitu Presiden hampir sedekad membuatkan beliau bukan sahaja dikenali di negaranya malah seluruh dunia.

Tidak seperti presiden Indonesia sebelumnya, Jokowi merupakan presiden pertama Indonesia yang bukan berasal dari latar belakang politik atau ketenteraan elit. Hal ini sekaligus membuatkan beliau mudah didekati para rakyat serta dikagumi menerusi visi yang diperkenalkan.

Terbaharu, Jokowi selaku Presiden Republik Indonesia yang
ke-7 bakal memikul tanggungjawab yang besar apabila Indonesia terpilih sebagai Pengerusi ASEAN 2023 pada awal Januari lalu.

Perkara ini sekaligus memberi penghormatan buat Jokowi sekaligus membuka ruang perancangan buat Jokowi untuk menyelesaikan kemelut dan cabaran getir yang dihadapi oleh ASEAN.

Menerusi temu bual dengan hos, Fiza Sabjahan pada program yang bakal ditayangkan selama 30 minit di TV3 dan tonton ini, Jokowi tampil berkongsi perspektif beliau mengenai hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, Joko Widodo juga turut membincangkan soal kepentingan ASEAN dalam isu maritim, pertikaian sempadan, pergolakan politik di Myanmar, pemulihan ekonomi, keselamatan makanan demi menjamin kestabilan politik, keselamatan dan juga ekonomi.

Sedikit perkara menarik dan unik mengenai hobi Joko Widodo, beliau merupakan seorang yang minat dengan sukan ekstrem seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi manakala sukan pilihan beliau adalah futsal dan badminton. Menonton filem pula merupakan aktviti kegemaran beliau sewaktu lapang.

Kenali lebih dekat Presiden Indonesia ke-7 menerusi program ‘Eksklusif bersama Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia’ yang bakal disiarkan pada 9 Mei 2023, Selasa, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim secara definisi tinggi di Tonton.