Skuad badminton Malaysia terpaksa menelan kepahitan tersingkir awal dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 selepas tewas kepada Indonesia pada aksi kedua peringkat kumpulan yang berlangsung sebentar tadi.

Ia merupakan kali pertama Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan dimana pada tiga edisi sebelum ini melangkah ke suku akhir.

Baca Juga:

Malah, edisi kali ini merupakan pencapaian terburuk dicatatkan skuad negara apabila turut tewas pada aksi pertama menentang Hong Kong, semalam.

Ini bermakna Indonesia dan Hong Kong menjadi wakil kumpulan B yang mara ke suku akhir.

Ketika harapan disandarkan kepada Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk meraih mata pertama buat kem negara, pasangan suami isteri itu bagaimanapun gagal untuk menewaskan Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-17, 13-21, 18-21.

Indonesia meraih mata kedua hasil kemenangan Komang Ayu Cahya Dewi yang menewaskan K. Letshanaa 21-12 21-19 bagi perseorangan wanita.

Leong Jun Hao kembali menghidupkan peluang buat skuad negara setelah berjaya menundukkan Yohanes Saut Marcellyno dalam aksi yang berlanjutan ke set penentuan 11-21 22-20 21-12.

Harapan untuk melihat Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menyamakan kedudukan tidak kesampaian selepas pasangan beregu wanita itu tewas kepada Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose 21-18, 7-21, 17-21.

Aksi Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang berhadapan Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin tetap diteruskan walaupun ia sudah tidak memberikan sebarang makna buat kem Malaysia yang terpaksa pulang awal. Pasangan negara itu berjaya mencatatkan kemenangan 25-27, 21-17, 23-21.