Bermula 15 Julai 2024, sesiapa yang dijangkiti COVID-19 tidak lagi perlu kuarantin di rumah atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO).
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan, memaklumkan peraturan baharu itu turut terpakai kepada pemakaian pelitup muka, di mana individu disahkan positif COVID-19 hanya digalak memakai pelitup muka, meminimumkan interaksi sosial dan mengelakkan tempat sesak.
Individu yang positif COVID-19 juga akan dirawat sama seperti jangkitan saluran pernafasan lain.
Katanya, peraturan baharu itu dikuatkuasa selepas jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan serta kes kematian menunjukkan penurunan, selain tiada varian baharu dikesan di Malaysia sehingga kini.
“Bagaimanapun, individu itu (disahkan positif) masih berpotensi menyebarkan jangkitan COVID-19.
“Oleh itu, atas tanggungjawab sosial, individu terbabit digalakkan untuk kekal berada di rumah atau tempat kediaman. Elakkan berinteraksi rapat dengan orang lain dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan kesihatan awam sekiranya perlu keluar rumah atau tempat kediaman,” lapor Berita Harian.
Selain itu, katanya, individu berkenaan boleh mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk.
“Pemberian Sijil Cuti Sakit dan rujukan ke hospital (jika perlu) adalah berdasarkan penilaian Pegawai Perubatan yang merawat,” katanya.
Menurut kenyataan KKM lagi, setakat ini varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron dengan subvariannya terdiri daripada Variant of Concern (VOC), Variant of Interest (VOI), dan Variant Under Monitoring (VUM).
Katanya, biarpun negara akan memasuki peralihan fasa hidup bersama COVID-19, KKM akan sentiasa memantau situasi terkini COVID-19 di peringkat global dan Malaysia.