Pegawai Imigresen tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan, petik Harian Metro.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung laporan berkaitan kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh bercakap bahasa Melayu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pulau Pinang, kelmarin.

Baca Juga:

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ingin memaklumkan bahawa pelanggan terbabit sudah dapat memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada hari sama (22 April lalu).

“Kami ingin menegaskan bahawa pegawai-pegawai Imigresen tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pegawai-pegawai Imigresen akan melaksanakan semakan rawak daripada pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Bagaimanapun, semakan itu perlu dilakukan secara profesional dan berhemah.

“Jabatan ini komited dalam memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.

“Semua pegawai juga diingatkan supaya menyantuni pelanggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh JIM,” katanya.

Sumber