COVID-19 telah menunjukkan sisi lain manusia. Ada yang telah dibuang kerja, ada juga yang terpaksa bergantung nasib dengan jiran tetangga, manakala di satu sudut lain, ada pula yang terpaksa berkorban seorang diri demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Begitulah permulaan cerita seorang pelajar dari Malaysia – yang terpaksa dirahsiakan namanya untuk tujuan keselamatan. Dia terpaksa berpindah seorang diri ke Singapura untuk meneruskan sekolah yang akan bermula pada hari Selasa.
Selama lebih dua bulan, anak muda berusia 14 tahun ini terpaksa meninggalkan keluarganya di Tebrau, pinggir bandar Johor Bahru untuk menetap seorang diri di negara jiran, Singapura.
Ketika ditanya oleh CNA adakah dia rindukan keluarga di Malaysia. Dia menjawab bahawa apa yang dia rindu adalah interaksi sosial dengan orang lain. Untuk hidup seorang diri, adalah satu ujian baginya apabila perlu berhadapan dengan kesunyian kerana kurangnya sokongan dan hubungan sesama manusia.
Dengan setiap minggu yang berlalu, dia bertambah rindu dan berjuang dengan rasa kesunyian. Untuk membuang rasa rindu, dia tidak pernah terlepas untuk menelefon keluarganya dan melihat langit Johor Bahru dari tingkap bilik tidurnya.
“(Pemandangan) membuat saya merindui ibu bapa saya … Kadang-kadang saya hanya melihat (Johor Bahru) kerana saya tidak mempunyai siapa-siapa untuk bercakap dan berhubung,” katanya.
Namun bagi pelajar Malaysia yang bersekolah di Yishun ini, dia tetap gembira kerana sekolah sudah bermula dan ia akan memudahkannya untuk meluangkan masa yang selama ini dihabiskan dengan kesendirian.
Cabarannya bermula ketika Malaysia mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara pada 16 Mac lalu – semasa cuti sekolah – dan ibu bapanya terpaksa membuat keputusan yang sukar dengan memutuskan bahawa dia harus berpindah ke Singapura secepat mungkin.
Ayahnya, seorang ahli perniagaan – yang juga dirahsiakan namanya bagi tujuan keselamatan – mempunyai keraguan untuk meninggalkan anaknya seorang diri tanpa pengawasan orang dewasa, tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mahu anaknya ketinggalan ilmu yang bakal di ajar di sekolah.
“Kami agak gugup … Kami tidak tahu apakah dia boleh melakukannya (tinggal sendirian),” kata ayahnya. “Dia bergantung pada isteri saya selama ini. Sekiranya dia tidak dapat mengatasi, kita harus membawanya kembali. “
Ayahnya yang berumur 51 tahun terpaksa memperjudikan nasib anak lelakinya. Dia telah mencari tempat tinggal untuk anaknya. Melakukan panggilan kepada saudara-mara dan kenalannya di Singapura sebelum pak ciknya sendiri menawarkan tempat tinggal.
Pak ciknya telah berpindah ke rumah anak perempuannya di satu tempat yang lain bagi membantu menjaga cucu. Jadi dengan senang hati, pak ciknya memberikan rumah tersebut untuknya duduki selama berada di Singapura.
“Awalnya saya menolak… saya seorang diri. Saya akan berpisah dengan mereka (keluarga saya), “katanya, ”(Tetapi) saya juga bimbang bahawa jika saya tidak pergi ke Singapura, saya akan terlepas beberapa pelajaran (di sekolah). “
Akhirnya, pada 17 Mac, pelajar berumur 14 tahun, bersekolah di Menengah Dua mengemas beg kecil, beg sekolah dan telah datang ke Singapura seorang diri dan memulakan kehidupan berbeza tanpa ayah dan ibunya.
Ketika kali terakhir mahu melepaskan anaknya ke Singapura, ayah dan ibunya mengalirkan air mata. Mereka sempat makan bersama di pusat membeli-belah sebelum menghabiskan waktu-waktu yang sukar dengan memeluk antara satu sama lain.
Ibunya sebelum itu sempat mengatakan kegusaran hatinya bahawa dia tidak akan lagi bertemu anaknya sehingga akhir tahun ini jika situasi COVID-19 tidak cepat membubar.
Namun, di sisi lain, dia menyatakan bahawa ada rasa teruja dengan cabaran baharu yang bakal dia hadapi. “Saya fikir saya boleh berdikari – tidak ada yang dapat mengawal saya, yang akan memberitahu saya waktu untuk tidur.”
Tetapi realiti yang dia tidak lihat adalah dia harus menjadi dewasa. Dia harus belajar melakukan kerja rumah seperti membersih lantai dan menjaga setiap duit yang keluar dan masuk – elaun bulanannya adalah S $ 400 (RM1,230.00) – kerana sebelum ini dia ada ibu yang melakukan semua tugas tersebut.
“Tiba-tiba, saya harus menjadi dewasa. Saya harus menguruskan wang dan pekerjaan rumah tangga… membeli bahan makanan sendiri dan memilih sayur-sayuran, ”katanya, yang mempunyai seorang kakak perempuan yang belajar di Malaysia. “Saya kini lebih menghargai ibu saya sekarang.”
Untuk rekod, sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan, dia berulang alik dengan bas ke Singapura. Bangun pada pukul 4 pagi setiap hari minggu untuk sampai ke sekolah tepat pada waktunya.
Dia kini sudah mula menyesuaikan dirinya dengan sekeliling. Dia juga kini sudah boleh memasak makanan sendiri. Dia turut dibantu oleh jiran sebelah selepas mereka mengetahui bahawa dia tinggal seorang diri – kadang-kadang mereka sedekahkan makanan untuknya. Pak ciknya juga sering datang melawat untuk melihat keadaannya.
Kisah ini adalah antara kisah-kisah yang lain di mana rakyat Malaysia terpaksa meninggalkan rumah mereka di Johor Bahru untuk belajar dan mencari rezeki di Singapura. Keadaan menjadi bertambah sukar apabila sempadan dua negara – Singapura dan Malaysia – mula ditutup sejak berlakunya wabak COVID-19.
Terdahulu, Singapura pernah mencatatkan kes tertinggi COVID-19 dalam masa sehari, klik pautan di bawah untuk membaca.
Singapura Catat Rekod COVID-19 Tertinggi Dengan 728 Kes Baharu Dalam Sehari
Rakyat Malaysia Sanggup Lakukan Apa Sahaja Kerja Di Singapura, Tetapi Tidak Di Negara Sendiri