Perlawanan persahabatan antarabangsa skuad futsal Indonesia menentang Malaysia di GOR Amongrogo, Yogyakarta yang dijadualkan berlangsung pada jam 9.00 malam Ahad ini jelas menjadi tumpuan utama peminat di negara jiran tersebut.

Ia jelas dibuktikan apabila jualan tiket secara dalam talian sudah habis terjual seperti dilaporkan laman futsal Indonesia, Bolalob Futsal.

Tiket dalam talian dengan harga RP.40.000 (kira-kira RM11) itu ibarat goreng pisang panas dan penjualan tiket fizikal (RP.30.000) juga dilihat mendapat sambutan menggalakkan.

Daripada ‘Instagram Story’ Galeri Futsal juga kelihatan para peminat beratur panjang untuk mendapatkan tiket perlawanan yang nyata amat dinantikan warga Yogyakarta khususnya.

Menurut tinjauan beberapa artikel di Indonesia, GOR Amongrogo mampu untuk memuatkan kira-kira 7,000 penonton dalam satu masa.

Seperti dilaporkan semalam, Indonesia dan Malaysia dalam persiapan untuk menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2024 yang dijadualkan berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima bermula 2 November nanti.

Tiket Dalam Talian Aksi Futsal Indonesia Lawan Malaysia Habis Dijual
Kredit Foto: Instagram Story Galeri Futsal

Indonesia yang merupakan naib juara edisi lalu selepas tewas dalam penentuan sepakan penalti kepada Thailand telah diundi dalam kumpulan B bersama-sama Myanmar, Australia dan Kemboja.

Manakala, Malaysia pula berdepan tugas berat apabila diundi bersama dua pasukan yang berpengalaman di pentas Piala Dunia iaitu Thailand dan Vietnam.

Dua lagi slot kumpulan A diisi Timor Leste dan Brunei yang di atas kertas mungkin tidak terlalu memberikan kesukaran kepada skuad negara.

Sejak berada di bawah kendalian Rakphol bermula 7 Ogos 2023, skuad futsal Malaysia tidak pernah beraksi menentang Indonesia.

Melihatkan kepada rekod pertemuan pada dua aksi terakhir, skuad negara tewas 1-5 pada Kejuaraan AFF 2021 dan tewas 0-3 ketika aksi Sukan SEA di Vietnam.