Lama menyepi, pelakon Arja Lee kini telah bekerja sebagai seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sejak tahun lalu sekaligus mengambil keputusan meninggalkan dunia seni untuk memberi tumpuan kepada karier baharunya.

Menurut laporan, Arja Lee tidak mahu lagi terbabit dalam dunia glamor sebagai seorang selebriti dan lebih tenang menjalani kehidupan tanpa sebarang kontroversi di Kelantan. Malah, dia juga semakin seronok dan selesa menetap di Kelantan disebabkan kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur.

Baca Juga:

“Alhamdulillah saya selesa dengan kehidupan saya sekarang, ada pekerjaan tetap dan paling penting ada pendapatan bulanan yang tak perlu saya risau setiap bulan.

“Dekat sini saya mahu menjalani hidup tenang dan bebas daripada sebarang kontroversi sebagai seorang selebriti dan tinggalkan bidang seni buat masa ini bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai seorang pensyarah yang turut memerlukan komitmen tinggi,” kata Arja Lee.

Tambahnya, dia bersyukur kerana impian untuk melanjutkan pengajian dan diterima sebagai pensyarah telah tercapai. Difahamkan, dia baharu sahaja menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Pengajian Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bakal menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) tidak lama lagi.