Seorang pemandu Volkswagen Jetta dengan nombor pendaftaran Singapura yang dikesan mengisi RON95 dua minggu lalu didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64 dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah atas tuduhan mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan itu, petik Berita Harian.
Baca Juga:
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura itu didakwa sebagai pemandu Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran ‘SLJ 8967 M’ didakwa mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan itu.
Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam di sini, kira-kira jam 10.30 malam, 2 Januari lalu itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli yang mewakili OKS memohon hukuman denda yang minimum memandangkan lelaki itu seorang pesara dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“OKS menanggung seorang isteri yang juga suri rumah serta tiga anak yang mana dua daripadanya masih belajar dan sekolah.
“Ini kesalahan kali pertamanya dan OKS berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya ini dan akan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Kerajaan Malaysia,” katanya.
