Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail atau TMJ menggesa satu siasatan menyeluruh dibuat ke atas pengawal pengiring keselamatan yang didakwa memukul pemandu e-hailing OKU.
Pada Rabu minggu seorang pemandu e-hailing OKU telah membuat laporan polis mendakwa dia telah dipukul oleh seorang pengawal pengiring rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel pada Selasa.
Mangsa mendakwa dia telah ditumbuk di kepala ketika diminta mengalihkan kenderaannya.
Ketika membuat laporan polis, telefon pintar dan kamera papan pemuka keretanya telah dirampas oleh polis.
Namun pada hari yang sama mangsa menarik balik laporannya kerana menurutnya ada salah faham berlaku ketika itu.
Perkara tersebut terus dibincangkan secara hangat oleh rakyat Malaysia. Dan akhirnya TMJ memberikan komen tentang pendirian beliau berkaitan perkara itu.
TMJ menegaskan bahawa beliau tidak membenarkan sebarang jenis ugutan atau tindakan yang menyalahi undang undang.
Dipetik dari Berita Harian, TMJ berkata: “Merujuk kepada insiden yang berlaku di Hotel St Regis, Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, pada keesokan harinya saya menggesa pengiring keselamatan PDRM untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.
“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang undang. Saya menggesa agar pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh, berkaitan dengan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan bahaya.
“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.”
TMJ menggesa semua pihak agar memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes tersebut. TMJ juga sedar ada cubaan mengheret nama institusi diraja dalam insiden tersebut.
TMJ menambah: “Cubaan mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan institusi diraja adalah tidak wajar.”