Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menyatakan pasukannya berjaya mengurangkan bajet sebanyak 40 peratus bagi menghadapi saingan musim 2024/25.

Beliau berkata demikian menerusi komen di laman media sosial rasmi pasukan selepas mengakhiri kerjasama bersama salah seorang pemain import iaitu Fernando Forestieri baru-baru ini.

Baca Juga:

“Terima kasih Fernando Forestieri. Anda selamanya akan menjadi sebahagian daripada sejarah kami. 40 peratus pengurangan bajet. Bermula era underdog,” kata TMJ.

Sebelum ini, JDT telah melepaskan beberapa pemain tempatan dan import dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan pasukan menjelang saingan musim hadapan.

Antara yang disahkan meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.

Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo turut meninggalkan JDT selepas lama berkhidmat.

Selain itu, lima pemain Harimau Selatan juga akan dipinjamkan ke pasukan luar bagi mendapatkan minit permainan lebih banyak iaitu Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.

Mereka telah pun membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk insfrastruktur bola sepak dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas.

Bagi mengendalikan pasukan musim depan, JDT melantik semula Hector Bidoglio sebagai ketua jurulatih baharu kelab tersebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Esteban Solari.

“Hector Bidoglio, yang sebelum ini menjadi pengarah teknikal kelab dan penasihat pasukan utama, akan kembali sebagai Ketua Jurulatih Harimau Selatan.

“Beliau akan dibantu oleh Pablo Ricchetti, yang juga penolong jurulatih musim lepas, dan penolong jurulatih baharu dari Argentina selain beberapa jurulatih termasuk kakitangan kecergasan & perubatan yang akan menyertai kelab pada musim hadapan,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.