Siapa sahaja tidak kenal dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga merupakan pemilik kelab bola sepak terkenal Johor Darul Ta’zim atau lebih dikenali sebagai JDT dalam dunia bola sepak.
Walaupun saingan bola sepak tempatan masih lagi belum bersambung kerana penularan pandemik, namun gaya hidup dan perkembangan semasa Tunku Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai TMJ ini sentiasa sahaja menjadi tumpuan ramai.
Dan jika anda mengikuti akaun Instagram beliau sudah pasti anda telah melihat perbezaan yang ketara apabila beliau kini dilihat tampil lebih kurus dan segak berbanding sebelum ini.
Buat anda yang tertanya-tanya berapakah berat badan yang telah berjaya diturunkan oleh TMJ, jawapannya adalah sebanyak 22 kilogram (KG) menurut laporan portal Harian Metro yang memetik hantaran Instagram TMJ sebelum ini.
Berkongsi mengenai kejayaan menurunkan berat badan sehingga 22 kilogram itu, TMJ berkata kunci kejayaannya adalah dengan mengamalkan pemakanan yang betul dan senaman yang konsisten sahaja.
Malah beliau juga mendedahkan tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau supplement sepanjang proses menurunkan berat badan tersebut.
“Apa paling mustahak adalah pemakanan yang merangkumi 70 hingga 80 peratus dan saya tidak mengambil apa-apa supplement (makanan tambahan), selain senaman yang konsisten. Setiap pagi saya akan minum jus, sayuran dan buah-buahan.
“Ramai cakap tiada gimnasium besar dan sebagainya tapi saya hanya guna ruang kecil sahaja untuk turunkan 22kg. Selain, melakukan senaman tidak lebih satu jam,” kongsi beliau.
Tidak perlu dua tiga jam di gimnasium
Malah jelasnya rutin senaman yang diamalkan beliau sebelum ini hanya memerlukan masa sekitar 20 minit dan tidak memerlukan seseorang itu untuk meluangkan masa selama beberapa jam di gimnasium.
Ia termasuk pelbagai senaman kardio dalam bentuk set, untuk masa 1 minit, 20 saat bagi setiap set senaman itu dilakukan, tambah beliau lagi.
Menurunkan berat badan bukanlah satu usaha yang mudah dan jika ada kalangan pembaca yang pernah melakukannya sebelum ini pasti tahu akan cabaran yang perlu dihadapi untuk menurunkan beberapa kilogram apatah lagi sebanyak yang berjaya dicapai TMJ ini.
Jadi kepada anda yang berkira-kira untuk mendapatkan berat badan yang ideal, mungkin anda boleh mencuba apa yang dikongsikan TMJ ini kerana cara yang dikongsikan ini juga mudah untuk diikuti dan dijadikan panduan.
Baca juga mengenai bagaimana jam tangan berjenama G-Shock ini menjadi popular selepas ianya dilaporkan disarung oleh TMJ sebelum ini di pautan di bawah.
Nilai Dan Populariti G-Shock GA-2100 Ini Meningkat Selepas Disarung Oleh TMJ
TMJ Pemilik Sebenar Istana Dalam ‘Crazy Rich Asians’ Yang Bernilai RM14 Bilion