Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Bhd, Gurdip Singh Sidhu menyatakan TNG Digital Sdn Bhd, yang mengendalikan Touch ‘n Go eWallet, telah pun mencapai status ‘Unicorn’.
CIMB Group Holdings Bhd (KL:CIMB) memiliki pegangan terbesar dalam TNG Digital melalui unit milik penuhnya, Touch ‘n Go Sdn Bhd.
Baca Juga:
- TNG eWallet Sedia Menyokong Pembayaran Parkir Jalanan Di Seluruh Kuala Lumpur Dan Selangor

- Lelaki Ini Kongsikan Kaedah Beli Air Daripada ‘Mesin Gedegang’ Menerusi TNG eWallet Di Jepun

- Lebih Mudah Buat Pembayaran, Ini Caranya Menambah Widget TNG eWallet Pada ‘Home Screen’ iPhone

Memetik The Edge Malaysia, walaupun penilaian sebenar tidak didedahkan, Gurdip berkata TNG Digital sudah pun layak digelar sebagai Unicorn — iaitu syarikat pemula (startup) milik persendirian yang bernilai lebih daripada USD1 bilion.
Ia sekali gus menyokong aspirasi kerajaan untuk mengenal pasti lima syarikat ‘unicorn’ dari Malaysia menjelang tahun 2030.
“Kami sangat yakin bahawa TNG Digital sememangnya sudah layak sebagai sebuah syarikat unicorn,” kata Gurdip kepada para pemberita di luar sesi panel media sempena MyFintech Week 2025 yang berlangsung di Sasana Kijang pada hari Selasa.
Menurut Gurdip, TNG Digital telah mula mencatatkan keuntungan pada awal tahun ini dan kini menunjukkan momentum peningkatan yang kukuh dari segi jumlah transaksi serta kadar penggunaan perkhidmatan. Syarikat itu kini berkhidmat kepada kira-kira 23 juta pengguna yang telah disahkan, merangkumi hampir keseluruhan populasi dewasa di Malaysia.
“Pada tahap ini, perniagaan sedang berkembang dengan sangat baik. Kami telah mula menjana keuntungan selepas beberapa tahun berada dalam fasa inkubasi,” katanya.
Dalam masa sama, apabila ditanya mengenai perancangan syarikat untuk disenaraikan, Gurdip berkata bahawa buat masa ini tiada rancangan segera untuk melaksanakan penawaran awam permulaan (IPO).
“Soal IPO adalah sesuatu yang akan sentiasa kami pertimbangkan, tetapi ia bukan sesuatu yang kami tergesa-gesa untuk lakukan,” katanya.