Kali ni aku dan Alex nak share trip aku ke Sabah selama 11 hari 10 malam bermula 9 Sept – 20 Sept 2016. Trip ni bukan trip bajet sebab trip langgar saja plus kena lipat dengan tripmates tapi tak apa kita langgar je.

Perjalanan trip ni dari Kota Kinabalu – Kundasang – Ranau – Sandakan – Semporna – Pulau Mabul – Semporna – Lahad Datu – Kundasang – Kota Kinabalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

9 Sept 2016

Hari pertama flight dari KLIA2 ke Kota Kinabalu jam 9.30am. Perjalanan mengambil masa 2 jam 15 minit. Sampai di Kota Kinabalu International Airport, kitorang tunggu member dari Sabah dan dia kasi pinjamkan kereta selama mana nak pakai RM300 je. Alhamdullilah rezeki kami.

Dari Kota Kinabalu bertolak ke Kundasang pada pukul 3.30pm dan sampai ke Kundasang 7.30pm. Disarankan bertolak awal la, paling lewat lepas waktu makan tengahari bagi mengelak dari tersekat dalam kesesakan jalan raya seperti yang telah kami alami.

Kitorang sampai Kundasang terus ke Kinabalu Mt. Lodge berharga RM35 per malam. Kat sini ada bilik dan capsule dorm, jadi kitorang pilih dorm je mudah.

Kemudahan serba lengkap turut disediakan. Pemandangan sangat cantik cuma kalau berkabus spoil sikit. Dapur dibuka 24 jam dan boleh guna bila-bila masa jadi korang boleh masak apa saja korang suka. Bahan mentah kena beli sendiri.

Jarak dari Kinabalu Park ke Kinabalu Mt.Lodge ni dalam 1km sahaja. Jalan agak mencabar dan simpang kena alert sebab kecik gila. Kitorang tido awal memandang subuh pukul 4am jadi 9pm kitorang dah tidur.

10 Sept 2016

Selesai subuh sekarang nak bercerita pasal mandi 6.30am heater tak bukak lagi terpaksa mandi gaya jumpa bujang lapok buat sementara waktu. Dah siap mandi sarapan pulak, maggi sup kari sini memang sedap. Pada aku paling sedap di dunia. Baru tahu nak bersyukur.

Kitorang pun berkenalan dengan Tina Beez dari Germany. Dia mai sorang je. Masa tu pulak hujan jadi berborak saja lah berkenalan dulu apa yang patut.

Kitorang pun bawa la dia berjalan area Kundasang tu. Dalam 1.30 pm hujan dah berhenti kitorang pun keluar dari hostel. Sampai dah ke Kinabalu Park. Jarak hostel kitorang ke Kinabalu Park dalam 2km.

Bayaran nak masuk cuma RM3 untuk warga Malaysia. Kami bergambar sakan kat sini. Mula berjalan dari Kinabalu Park HQ ke Mountain View Trial dalam 3.5km-4km jugak.

Dah sampai ke spot apa lagi kali kedua sakan bergambar. Korang boleh pilih sama ada nak road walk atau trail, macam-2 trail ada susah dan senang ada.

Selesai bergambar balik semula ke Kinabalu Park HQ. Bila masa nak balik tak ada la rasa perit sangat mungkin sebab menurun kot. Terus ke Kundasang makan makam kat sana. Pemandangan cantik sebab bertentangan dengan Gunung Kinabalu.

Esok hari nya nak bertolak ke Sandakan pulak. Memandangkan Tina pun nak ke Sandakan esok jadi dia pun ikut kitorang sekali.

trip-sabah-1

trip-sabah-2

trip-sabah-3

11 Sept 2016

Perjalanan ke Sandakan bermula di awal pagi.

Mula-mula kami singgah di Dairy Farm, Kundasang ingin melihat permandagan Gunung Kinabalu. Memang cantik dan tenang, selepas itu ke Ranau nak ke Poring Hot Spring. Kolam air panas dia biasa-biasa sahaja dan kami mendaki ke Langanan Waterfall dalam 3,700m perjalanan menegak.

Sangat berbaloi mendaki trails extreme sebab permandangan dan suasana sangat menakjubkan. Perjalanan mendaki mengambil masa dalam 2 jam. Perjalanan turun pulak 1 jam sahaja.

Kami makan tengahari dahulu di restoran tepi jalan. Nasi putih tiga, tomyam ayam, kangkung goreng belacan, kari ayam, telur dadar dan air manis tiga. Semua sekali RM25, sangat murah dan berbaloi. Terima kasih Tina sebab belanja.

6.30 pm kami bertolak ke Sandakan dan kami sampai dalam 11.00pm. Kami hantar Tina ke hostel dia dan kami pergi ke rumah kawan di Sepilok untuk tumpang rumah dia.

12 Sept 2016

Hari ni Raya Haji di Sandakan sebagai seorang perantau. Baru dapat merasa macam mana perasaan beraya di perantauan. Solat di masjid berdekatan dan bertolak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan ll untuk acara korban.

Selesai sudah korban, kami ziarah rumah kawan di Sandakan (Jay). Dia hidangkan burasak kat kami, macam lepat pisang tetapi macam isi ketupat. Dengan rendang ayam, rendang daging & kari ayam. Tak terkata sedap sungguh, katanya apabila Hari Raya sahaja ada burasak ini. Bertuah kami dapat merasa.

Suasana di Sandakan memang meriah, penuh orang di bandar pakai baju raya. Lepas itu singgah sekejap di hostel Tina sebab kami pun nak bertolak ke Semporna.

Sampai di Semporna dalam 7.30pm. Kami mencari hostel dahulu. Atine Backpacker Hostel RM30 per malam memang murah termasuk sarapan pagi. Badan pun dah penat jadi tidur esok panjang lagi perjalanan.

Baca: Tip Dan Itinerari Travel Ke Semporna Dan Mabul Sabah Selama 6 Hari

13 Sept 2016

Kami bangun awal hari ini sebab nak aturkan bot dan penginapan di Pulau Mabul. Kami memilih Arung Hayat sebab pada kami cukup murah. RM120 per malam 2 pax dan return boat trip RM100.

Kami cadang nak menetap 4 hari 3 malam di Pulau Mabul. Bot bertolak pada pukul 9.00am, perjalanan ambil masa 1 jam 30 minit. Persekitaran, air dan suasana memang menakjubkan. Arung Hayat juga sediakan snorkelling dan diving. Jadi saya sarankan Arung Hayat di Pulau Mabul (0128229984 Anip).

Hari ini kami tak buat sebarang aktiviti.

trip-sabah-4

trip-sabah-5

trip-sabah-6

trip-sabah-7

trip-sabah-8

14 Sept 2016

9 am bermula snorkeling. 1 point RM50 (kelengkapan lengkap disediakan), 1 point 1 jam sahaja. Kami pilih 2 points sahaja jadi RM90. Point pertama di Reef point dan point kedua di Warrior point.

Jangan risau Bro Anip, Bro Hanafi, Bro Nasir dan Bro Canon akan bimbing sebab diorang memang master divers. Batu karang, ikan, penyu dan jerung semua muncul. Korang boleh nampak dengan jelas. Point pertama 10.00am selesai dan makan tengahari dahulu. 1.00pm baru ke point kedua, Warrior point banyak muncul penyu dan jerung.

Selesai point kedua pada 2.00pm dan berehat dahulu sebab 4.00pm bro Hanafi nak membawa kami ke Kampung Mabul. Jalan-jalan melihat kawasan Pulau Mabul bagaimana. Pada saya sangat menarik sebab budaya yang berbeza. Melihat anak kecil bogel bermain ditepi pantai. Pulau ini kecil sahaja, dalam masa 30 minit boleh pusing satu pulau.

6.00pm terus ke Arung Hayat balik sebab ingin melihat matahari terbenam. Alhamdullilah cuaca baik. Malam ni awan kurang jadi dapat melihat bintang terang. Nasib baik dapat melihat Milky Way.

Baca: Itinerari ‘Week End Getaway’ 3 Hari 2 Malam Ke Kota Kinabalu, Sabah

15 Sept 2016

Pagi kami hanya berehat. 3.00 pm kami mandi laut di kawasan Arung Hayat sahaja.

5.00 pm kami berjalan ke Kampung Mabul sahaja ingin mencari cenderamata dan air kelapa segar. Kami melihat matahari terbenam lagi sebab esok kami sudah mahu pulang ke Semporna.

Malam ini tidur awal selepas makan malam, esok bot balik ke Semporna 10.30 am. Jadi kena banyak rehat masih jauh perjalanan.

16 Sept 2016

Jam 12 kami bertolak dengan bot ke Semporna. Perjalanan ambil masa 1 jam 30 minit. Lepas dah sampai terus bertolak ke Kundasang. Perjalanan mengambil masa 8 jam memandu dari Semporna.

11.00 pm kami sampai di Kundasang dan tidur di Kinabalu Mt.Lodge.

17 Sept 2016

Kami bertolak ke Kota Kinabalu dalam pukul 11.00 am, sampai di Kota Kinabalu dalam 1.30 pm.

Kami menginap di Halo Hostel di Kota Kinabalu. RM40 per malam, dorm dan berhaa dingin. Bersih, selesa, staff yang peramah dan makanan pun sedap juga. Berhampiran dengan bandar Kota Kinabalu, boleh berjalan kaki sahaja.

Hari ini banyakkan rehat di hostel sebab selalu tidak cukup tidur. Jadi esok baru buat aktiviti.

18 Sept 2016

Hari ini jalan-jalan kawasan Api-Api Centre dengan Tina dan Lisa (adik Tina).

Untuk makan malam kami ke Seafood Place, Kota Kinabalu Waterfront. Kami memesan ketam 800g, kepah 500g, kerang 500g, udang 500g, rumpai laut 50g, bendi goreng dan nasi empat orang. Air manis 5 cawan, jumlah kesemua sekali RM110.

Panduan di sini ronda ke semua kedai dahulu dan tanya harga mana yang terbaik. Ada masa mahal dan ada masa murah. Kena pandai berunding.

19 Sept 2016

Aktiviti hari ini ke Pulau Sapi. Bayaran dia dalam RM27 return trip termasuk bayaran jetty. Selepas itu apabila sampai di Pulau Sapi, perlu membayar RM3 seorang untuk yuran taman laut.

Sewa snorkeling mask & fins RM10 per orang sahaja, murah. Bot kami bertolak 12.00 pm dan perjalanan dalam 1 jam. Aktiviti di Pulau Sapi boleh dive, snorkeling, flying fox dan banyak lagi.

Kami cuma snorkeling sahaja di kawasan tu. Seronok juga air pun cantik dan jernih. 3.50pm kami kena sedia di jetty. Selepas itu kami mencari makanan laut buat kali kedua. Kali ini versi ikan.

Kami memesan Pirate Fish, Chicken Fish, Stingray, kangkung goreng belacan, nasi putih empat dan air manis empat baru RM135. Ikan size besar-besar kami ambik. Saya sarankan Gerai Jumbar di Seafood Place, Kota Kinabalu (014-3726702).

Malam pula Alex lepak dengan kawan dia di Kota Kinabalu. Saya berjalan dengan Tina dan Lisa di kawasan Bandar Kota Kinabalu. Night Market ada dimana-mana. Jual cenderamata, pakaian bundle, makanan laut, kerepek-kerepek dan banyak lagi.

20 Sept 2016

Pulang ke Kuala Lumpur. Penerbangan jam 10.55 pm.

trip-sabah-10

trip-sabah-11

trip-sabah-12

Disini saya senaraikan pelaburan berlaku (tidak termasuk makan) :

1. Penerbangan : RM240 + RM110 (extend) = RM350
2. Kereta sewa (Viva manual) : RM300
3. Petrol : RM150
4. Kinabalu Mt.Lodge : RM140 (2 malam)
5. Kinabalu Park : RM3 per orang
6. Poring Hot Spring : RM3 per orang
7. Atine Backpacker Hostel (Semporna) : RM30 per malam
8. Arung Hayat : RM100 (Return boat trip to Mabul Island) RM360 (3 malam).  RM90 untuk 2 points snorkeling.
9. Halo Hostel (KK) : RM120 3 malam
10. Sapi Island : RM27 per person (return boat trip) RM3 yuran jetty, RM10 mask & fins, RM3 marine park fee.

Review ni memang tak budget pun tapi cuma nak kongsi kalau ada yang nak ke salah satu tempat di Sabah boleh rujuk disini. Mana tau ada yang boleh membantu nak ke sana nanti.

Baca lagi: Kenapa Perlu Pergi Jauh Bila Kita Ada 6 Tempat ‘Power’ Ini Di Sabah