Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel mengakui beliau sudah mula merasai kesan berada di altitud tinggi di Mexico City.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya bersedia menghadapi permulaan yang pantas daripada Mexico dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Stadium Azteca terletak pada ketinggian 2,240 meter dari aras laut, namun Tuchel yakin para pemainnya mampu menyesuaikan diri dengan cabaran beraksi di lokasi tersebut.
Sebagai langkah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana, England telah menjalani sesi latihan di Mexico sebagai persiapan menghadapi perlawanan pada pagi esok.

Tuchel Mula Rasa Kesan Altitud Tinggi
“Saya sendiri contohnya mengalami sedikit sakit kepala ketika berada di bilik hotel sepanjang hari. Saya juga tidak tidur sebaik beberapa hari sebelumnya, tetapi ia bukan sesuatu yang tidak boleh diatasi atau disesuaikan,” ujar Tuchel menurut sumber laporan Sky Sports menceritakan mengenai pengalaman beliau dan pasukannya setakat ini.
“Saya rasa para pemain turut merasainya pada minit-minit awal sesi latihan. Namun, semakin lama latihan berlangsung, mereka semakin mampu menyesuaikan diri.”
“Beginilah keadaannya. Kami tidak boleh menyesuaikan diri dari segi fizikal dalam tempoh yang singkat. Itu memang mustahil. Sebab itu kami datang sehari lebih awal supaya sekurang-kurangnya dapat merasai keadaan di sini dan tidak perlu melalui semua pengalaman pertama itu ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan.”
“Jadi, ketika sesi memanaskan badan nanti, kami akan memberi perhatian khusus kepada pergerakan bola di udara serta kesan sesak nafas yang mungkin dialami.”
“Saya rasa bukan suatu kebetulan apabila Mexico selalunya memulakan perlawanan di laman sendiri dengan begitu bertenaga, bermain secara agresif dan sentiasa menyerang sejak wisel pertama. Saya percaya 15 hingga 20 minit pertama akan menjadi tempoh paling mencabar buat kami.”
“Jika kami berjaya mengharungi tempoh itu, saya yakin kami berada di landasan yang baik,” tambah beliau lagi.