Harapan England untuk menjulang Piala Dunia mungkin bergantung kepada satu taktikal unik yang ‘dipinjam’ daripada skuad ragbi negara tersebut.

Pengurus skuad Three Lions, Thomas Tuchel berdepan keputusan besar untuk menentukan siapa yang layak berada dalam kesebelasan utama dan siapa yang akan bermula di bangku simpanan.

Baca Juga:

Namun beliau berkemungkinan meniru sistem ‘Pom Squad’ yang digunakan pasukan ragbi England sebagai strategi ketika melakukan pertukaran pemain.

Perdebatan mengenai pemilihan skuad England semakin hangat dengan keputusan meletakkan Jude Bellingham di bangku simpanan ketika menentang Serbia menjadi bukti ketegasan Thomas Tuchel.

Lambakan bakat elit khususnya di posisi tengah menyerang yang turut menempatkan Phil Foden dan Eberechi Eze nyata mencetuskan dilema yang bukan mudah diselesaikan Tuchel.

Tuchel sebelum ini lantang menyatakan strateginya tidak semua pemain bintang seperti Foden, Bellingham dan Harry Kane boleh diturunkan serentak.

Pendekatan ini sekali gus menyaksikan pemain seperti Ollie Watkins berada di pinggir perancangan ketika Tuchel lebih mengutamakan keseimbangan taktikal berbanding nama besar.

Kaedah Bakal Diterapkan Tuchel Buat Skuad England

Menjelang Piala Dunia, falsafah ‘prestasi mengatasi status’ yang dibawa Tuchel menjanjikan lebih banyak keputusan sukar dan tajuk-tajuk panas yang pasti mengiringi setiap pilihannya.

Namun, Tuchel mungkin dapat memuaskan lebih ramai pemain bintangnya sepanjang kejohanan di Amerika Utara dengan meniru taktikal ‘Pom Squad’, iaitu strategi yang digemari ketua jurulatih ragbi England, Steve Borthwick.

‘Pom Squad’ ialah perkembangan baharu dalam pasukan ragbi lelaki England merujuk kepada pendekatan taktikal tertentu  dan istilah ‘Pom’ pula ialah slanga yang lazim digunakan di Australia serta New Zealand bagi merujuk kepada individu berketurunan British.

Diinspirasikan daripada ‘Bomb Squad’ milik Afrika Selatan, frasa itu merujuk kepada strategi England mengisi bangku simpanan dengan pemain posisi forward, membolehkan mereka melepaskan barisan pemain fizikal yang segar pada lewat permainan.

Taktik ini menjadi antara topik besar menjelang Autumn Internationals baru-baru ini  dan kini berpotensi menjadi isu hangat buat Tuchel pada Piala Dunia tahun depan.

“Kita perlukan bangku simpanan yang kuat. Kita bermain dalam cuaca 40 darjah dan selepas melalui musim yang sangat panjang,” ujar Tuchel menurut sumber laporan Goal.

“Kita mungkin antara negara yang paling terkesan oleh jadual bola sepak antarabangsa. Musim panjang, dua piala, final dan separuh akhir.”

“Jadi, 100 peratus kita perlu bersedia melakukan pertukaran pemain sehingga ke peringkat akhir Piala Dunia, jika kita mara sejauh itu.

“Apabila kita memasuki kejohanan, kejelasan peranan amat penting. Pemain yang lebih baik juga perlu berfikir dan bersikap jujur: ‘Bolehkah aku terima peranan ini? Adakah ia baik untuk aku? Bolehkah aku memaksimumkan peranan ini untuk pasukan?”

 

Sumber