Thomas Tuchel berkata Jude Bellingham perlu menerima keputusan beliau selepas pemain tengah England itu menunjukkan rasa kecewa apabila ditukar keluar pada aksi menentang Albania, awal pagi tadi.

Dua jaringan disumbangkan oleh Harry Kane itu memastikan England menikmati pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan rekod kemenangan bersih.

Baca Juga:

Menjaringkan 22 gol, England juga langsung tidak dibolosi dalam kesemua lapan aksi tersebut.

Namun, rekod cemerlang itu dicemari dengan tindak balas kurang profesional Bellingham ketika beliau digantikan dengan Morgan Rogers pada minit ke-84.

Tuchel Mahu Bellingham Hormati Keputusan

“Itu adalah satu keputusan dan dia perlu menerima keputusan tersebut,” ujar Tuchel menurut sumber laporan Sky Sports.

“Rakan dia sedang menunggu di tepi padang. Terima, hormati dan teruskan permainan.”

Tuchel kemudian ditanya sama ada reaksi itu bertentangan dengan sikap yang cuba beliau tanamkan dalam skuad menjelang Piala Dunia musim panas depan, di mana beliau menjawab: “Saya tidak melihatnya begitu.”

“Saya perlu menelitinya dan saya nampak dia tidak gembira. Saya tidak mahu membesarkannya pada ketika ini. Pemain seperti Jude sangat kompetitif, mereka memang tidak akan suka.”

“Kata-kata saya tetap sama. Ia tentang standard dan tahap prestasi. Ia juga melibatkan komitmen dan hormat antara satu sama lain.”

“Kami tidak akan menukar keputusan hanya kerana seseorang melambai tangannya tanda tidak puas hati,” tambah pengendali kelahiran Jerman itu lagi.

Sumber