Baru-baru ini, timbul kekeliruan berhubung kewujudan sebuah cawangan yang menggunakan nama jenama Chikuro di Malaysia.
Berikutan laporan dan perkongsian daripada orang awam, pihak pengurusan Chikuro Indonesia telah tampil membuat penjelasan rasmi mengenai status cawangan tersebut.
Menurut maklum balas rasmi daripada pihak Chikuro yang dikongsikan oleh netizen Indonesia, gambar atau outlet yang didapati beroperasi di Malaysia tersebut adalah bukan cawangan rasmi dan sama sekali tidak mempunyai sebarang kaitan atau afiliasi dengan Chikuro Indonesia.
Pihak pengurusan menegaskan bahawa buat masa ini, operasi rasmi Chikuro masih hanya tertumpu di negara Indonesia sahaja.
Berkenaan dengan isu penggunaan nama dan penampilan kedai yang menyerupai jenama mereka oleh pihak luar tanpa kebenaran, Chikuro memaklumkan bahawa perkara tersebut telah pun mendapat perhatian pasukan mereka.
Mereka memberi jaminan bahawa tindakan lanjut akan diambil bagi menangani isu ini.
Pihak Chikuro juga turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan dan sokongan para pelanggan yang sudi melaporkan perkara ini.

Pada masa yang sama, mereka turut berharap agar orang ramai dapat mendoakan supaya Chikuro mampu menembusi pasaran Malaysia secara rasmi pada masa akan datang agar peminat di sana dapat menikmati produk sebenar mereka.