Baru-baru ini, satu video yang memaparkan seorang pemandu berhadapan detik cemas apabila pemanduannya terganggu ekoran angin lintang serta hujan lebat di lebuhraya menjadi tular menerusi platform TikTok.
Menerusi hantaran @anna0001114 di laman TikToknya, itu merupakan kali pertama dia dapat melihat puting beliung bersaiz kecil.
Baca Juga:
- Tindakan Pemandu Lori Rempuh ‘Divider’ Untuk Elak Langgar Kereta Lain Dipuji Netizen
- Bapa Mahu Jual Kereta BMW Kesayangan RM18,000 Demi Tampung Rawatan Kanser Anak
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di lebuh raya berhampiran Pagoh, Johor.
Dalam video tersebut, dapat dilihat dengan jelas keluarga tersebut panik dan terganggu dengan angin kuat yang datang secara tiba-tiba.
“Puting beliung kecil tapi memang takut kalau lalu depan-depan. Seram juga. Allah baru jentik sikit tu,” tulis kapsyen pada video itu.
Malah, dapat dilihat daun-daun kecil berterbangan dalam bentuk pusaran dengan begitu pantas sekali. Pemandu yang berada di lebuh raya tersebut juga didapati mula memperlahankan kereta masing-masing kerana dikhuatiri boleh berlaku kemalangan.
@anna0001114 Puting beliung kecil tapi memang takut kalau lalu depan2. Seram juga. Allah baru jentik sikit tu.
Sementara di ruangan komentar, ramai yang meluahkan rasa takut melihat keadaan sebegitu kerana jarang berlaku di Malaysia.
Susulan itu, sebahagian netizen turut berkongsi tip sekiranya berhadapan dengan angin lintang yang dialami oleh pemandu berkenaan.
“Teruskan memandu dengan jarak yang selamat dan ambil lorong kanan sebab kalau boleh nak elakkan jarak dengan pokok. Jangan berhenti kenderaan jika jalan sempit,”, terang seorang netizen.
“Kalau berada di situasi sebagai co-pilot, cuba sedaya upaya untuk diam dan teruskan berzikir dan doa banyak-banyak dalam hati supaya pemandu boleh tenang dan fokus untuk teruskan pemanduan,” kongsi seorang netizen lagi apabila tindakan yang perlu dilakukan jika anda menjadi penumpang ketika itu.
“Ini memang kawasan angin lintang, jadi ramai perlu lebih berhati-hati dengan memberikan fokus serta memandu dengan perlahan apabila angin lintang terjadi,” ujar seorang netizen lain.
Berdasarkan carian kami, angin yang melintasi lebuh raya ini boleh menyebabkan sesuatu kenderaan yang sedang bergerak mengalami lencongan arah, berputar dari paksi asal dan terbalik sekiranya halaju angin yang bertiup melebihi nilai tertentu.
Ramai juga menegur tindakan pemandu yang membuka hazard light ketika hujan lebat di dalam video itu adalah menyalahi undang-undang dan boleh menyebabkan kemalangan.
Hal ini kerana tindakan ini bakal menimbulkan kekeliruan kepada pemandu lain dalam mengetahui arah sebenar jika anda mahu melakukan pertukaran ke laluan lain atau beranggapan kereta dalam keadaan berhenti.
Penggunaan hazard light sendiri adalah untuk waktu berhenti sahaja dan bukannya ketika kereta sedang bergerak. Jika sedang memandu dalam situasi hujan lebat, anda dinasihati untuk pasangkan lampu besar dan lampu belakang.