Sudah beberapa kali kita mendengar insiden ibu bapa tertinggal anak mereka di dalam kereta menerusi dada akhbar pada tahun ini.

Insiden seperti ini sememangnya perlu dipandang serius kerana boleh mengundang kepada maut dek kerena lemas. Perkara itu disebabkan kurangnya oksigen serta suhu yang panas ketika kanak-kanak terkurung di dalam kereta terbabit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Baru-baru ini, tular satu video di X memaparkan ibu bapa yang terlupa bahawa anaknya ditinggalkan di dalam kereta.

Menerusi video rakaman litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, awalnya kelihatan beberapa orang dewasa dengan segera keluar daripada sebuah rumah sambil berlari dalam keadaan yang cemas.

Sebaik sahaja keluar daripada rumah berkenaan mereka segera ke kereta jenis Honda CR-V dan seorang lelaki kemudian segera membuka kekunci pintu berkenaan.

Sebaik dibuka, seorang lagi wanita yang berada di bahagian pintu tempat duduk belakang segera membuka pintu dan mengendong seorang kanak-kanak keluar daripada kereta tersebut.

Selepas itu, kanak-kanak tersebut dibawa keluar, wanita berkenaan dengan segera membawanya masuk. Manakala terdapat seorang lagi wanita mengusap rambut berkenaan seperti berasa lega.

Difahamkan kanak-kanak itu selamat dan tiada sebarang kecederaan serius yang berlaku.

Manakala bapa dan dua lagi wanita kemudian membuat pemeriksaan pada kenderaan dan dilihat seperti mengeluarkan sesuatu dari kereta tersebut.

Sebaik membuat pemeriksaan mereka kemudian segera masuk semula ke rumah. Menerusi video difahamkan kejadian tersebut berlaku pada 15 Mac lalu sekitar jam 2 petang. Insiden itu yang tular di media sosial nyata menarik perhatian orang ramai.

Bapa tampil beri penjelasan situasi sebenar

Susulan itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Farishal tampil di Instagram @datofarishal bagi menjelaskan situasi sebenar dan meminta orang ramai untuk mengambilnya sebagai pengajaran.

Katanya sewaktu kejadian datuk kepada kanak-kanak berkenaan ketika itu ingin pulang ke kampung. Namun selepas bersalaman dia kemudian tertanya ke mana anaknya Zhafira menghilang.

Hal ini kerana sewaktu bersalaman sebelum datuk pulang ke kampung hanya dia yang tiada sebelum si ibu menjerit memaklumkan kanak-kanak itu di dalam kereta.

“Zhafira ikut masa hantar kakak masuk sekolah darjah satu dan sekolah menegah tadi, Zhafira tertidur di belakang.. Baby Boy Qhalifa tak ikut sebab nenek ada di rumah dan tolong jagakan sekejap.

“Asalnya kereta diparkir di dalam rumah… sebab atok nak masukkan barang sebelum gerak balik jadi mama parkir kejap dekat luar rumah. Cuaca semalam memang agak panas sampai capai 42 darjah celcius.

“Nasib cermin dibuka kiri dan kanan dalam setengah jengkal. Kurang lebih 15-20 minit jugalah duduk dalam kereta. Papa terus lari ke kereta.. dalam kepala memang dah fikir macam-macam… sebab banyak kejadian berlaku terlupa anak dalam kereta dan ada sampai hilang nyawa,” ujarnya.

Malah dia turut menjerit meminta alat kawalan kunci kenderaan untuk membuka pintu kereta terbabit sebelum dibuka oleh anak keduanya. Sebaik dibuka, Zhafira yang juga anak ketujuh dilihat masih tertidur dan tiada pergerakan membuatkan si bapa panik.

Namun dia dilihat memberikan respon sebaik adik kepada Faris mengejutnya sebelum mereka membawa Zhafira keluar dari kereta.

“Masuk rumah duduk di bawak kipas serta buka baju dan bagi minum air.. Alhamdulillah semua selamat dengan izinNya. Pengajaran pertama dan terakhir. Pastik anak-anak kita cukup kuantiti di depan mata sebelum buat kerja.”

Netizen bersyukur kanak-kanak sempat diselamatkan

Menjengah ke ruangan komentar, ramai yang bersyukur kerana kanak-kanak itu selamat dan tiada sebarang kecederaan.

Tidak kurang juga ada yang mengingatkan agar ibu bapa sentiasa membuat pemeriksaan sebelum meninggalkan kenderaan agar kejadian sama tidak berulang lagi.

Sebahagian pula memberi cadangan keperluan mempunyai sistem penggera khas atau amaran yang dipasang pada budak itu. Jadi, jika berjauhan ia boleh mengeluarkan bunyi sebagai amaran sekaligus ibu bapa menyedari perkara itu.