Pemilik  Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menegaskan rumput ‘cow grass’ tidak lagi sesuai digunakan untuk bola sepak moden.

Baginda mengatakan demikian selepas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan terdapat empat negeri tidak mahu tukar rumput menerusi projek naik taraf padang bola sepak.

Baca Juga:

“Kalau tak nak tukar Zeon Zoysia, tukar kepada bermuda macam Terengganu FC. Dua-dua jenis rumput ini sand base. Apabila hujan, tak berlumpur. Masalah cow grass adalah soil base dan apabila hujan air bertakung atau berlumpur,” katanya menerusi laman X.

Tunku Ismail juga menafikan penukaran rumput jenis Zeon Zoysia ini akan memberi kelebihan kepada JDT kerana mereka tidak pernah kalah selama 6 tahun ketika beraksi di atas padang cow grass.

“Ada juga saya dengar teori yang mengatakan cow grass beri disadvantage kepada JDT. Tuan-tuan, JDT belum kalah away dlm liga semenjak March 2018. 6 tahun belum kalah atas cow grass. Jadi tolonglah berfikir secara professional dan meningkatkan infra bolasepak negara,” tegas baginda.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan sudah menyalurkan geran keseluruhan sebanyak RM4.6 juta kepada 10 negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak.

Lapan negeri termasuk Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka menerima geran penuh RM500,000 bagi proses naik taraf sistem saliran dan penukaran rumput.

Namun begitu, Perlis dan Kedah hanya menerima RM300,000 kerana hanya mahu menaik taraf sistem saliran dan tidak mahu menukar rumput.

Dua lagi negeri yang tidak mahu tukar rumput ialah Sabah dan Pulau Pinang.

“Empat negeri tidak menerima peruntukan itu termasuk Johor kerana stadium mereka sudah bagus. Sabah dan Pulau Pinang tidak mahu menerima peruntukan, tidak perlu naik taraf saliran dan mereka tak mahu tukar rumput.

“Sarawak pula minta ditunda kerana mereka tak boleh jalankan kerja sebelum SUKMA (Sukan Malaysia) disempurnakan.

“Memandangkan peruntukan sudah disalurkan antara Mac hingga Julai tahun ini, kita berharap negeri yang terbabit menggunakan geran itu berdasarkan skop yang sudah ditetapkan bagi memastikan tiada gangguan bagi perjalanan liga pasukan masing-masing,” Kata Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh.