Pada hari ini membeli-belah menerusi internet merupakan satu kebiasaan. Walaupun ia nampak mudah, namun terdapat risiko-risiko yang perlu ditanggung oleh peniaga dan pembeli seperti kehilangan barang yang telah dipos.

Baru-baru ini seorang peniaga, Jue Jerry menghadapi isu barangan dihantar menggunakan satu servis syarikat kurier ini telah hilang. Notifikasi memaklumkannya untuk membuat tuntutan tuntutan menerusi laman web atau aplikasi syarikat kurier tersebut.

Baca Juga:

Namun, jawapan balas yang diterimanya sangat mengejutkan dan mengelirukan beliau apabila syarikat kurier tersebut menyatakan telekung adalah salah satu kelengkapan keagamaan, justeru ia tersenarai dalam item larangan pengeposan — sekaligus menyebabkan peniaga itu tidak dapat membuat sebarang tuntutan terhadap barangan yang hilang itu.

Sumber Gambar: FB Jue Jerry

Menurut hantaran Facebook Jue, beliau telah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), namun pihaknya menyatakan itu bukan bidang kuasa mereka.

Kemudian Jue membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan jawapan yang diterimanya sama seperti yang diberikan oleh syarikat kurier berkenaan — telekung adalah item larangan untuk pengeposan.

Tangkap layar jawapan yang diberikan oleh MCMC itu telah mencetus pertikaian di antara netizen. Ramai tertanya-tanya apa kaitan telekung dengan larangan tersebut, kerana telekung bukanlah ‘bersifat’ seperti naskah Al-Quran yang memerlukan air wuduk jika mahu memegangnya.

Sumber Gambar: FB Daebaking
Sumber Gambar: FB Daebaking
Sumber Gambar: FB Daebaking

Ada juga yang berpendapat mungkin syarikat kurier itu tidak mahu bertanggungjawab atas kehilangan itu, maka mereka meletakkan telekung sebagai produk larangan untuk pengeposan.

Hasil carian The Vocket mengenai senarai item larangan untuk pengeposan di laman web syarikat kurier itu mendapati kelengkapan keagamaan dikategorikan sebagai item larangan, namun telekung tidak ada dalam senarai tersebut.

Setakat artikel ini ditulis pihak syarikat kurier itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu yang tular dan menjadi bualan netizen ketika ini.

Jue menyatakan beliau akan menggunakan servis syarikat kurier lain yang boleh menghantar telekung kepada pelanggannya dengan selamat.