Juara dunia Formula 1 tujuh kali, Sir Lewis Hamilton meraih kemenangan pertamanya bersama Ferrari dalam aksi penuh dramatik di Grand Prix Barcelona-Catalunya malam tadi.

Kemenangan penuh makna itu merupakan yang pertama buat Hamilton sejak Grand Prix Belgium 2024 ketika beliau masih berlumba bersama Mercedes-AMG Petronas Formula One Team.

Kejayaan itu turut memberikan lonjakan besar kepada peluang kejuaraannya serta lembaran baharu bersama Ferrari.

Sebelum kejayaan manis terbaharu dikecapi Lewis Hamilton, kemenangan Grand Prix terakhir bagi Ferrari adalah menerusi Carlos Sainz di Grand Prix Mexico City pada 27 Oktober 2024.

Penantian 2 Tahun Berakhir, Ini Ucapan Penuh Emosi Lewis Hamilton Selepas Menjuarai GP Barcelona
Kredit Foto: Manaure QUINTERO / AFP

Susulan itu, Lewis Hamilton menghantar mesej terima kasih yang panjang kepada pasukannya atas sokongan sepanjang 18 bulan sejak beliau menyertai pasukan itu.

“Grazie ragazzi (terima kasih semua)! Grazie a tutti (terima kasih semua orang)! Semua di Maranello, terima kasih banyak kerana membantu saya mencapai impian ini.”’

“Saya tidak dapat cukup berterima kasih buat anda. Terima kasih kepada semua yang bekerja keras di bahagian home base. Saya sangat bangga dengan anda semua.”

“Kepada keluarga saya, saya sayang anda. Kepada para peminat, terima kasih kerana terus mengingatkan saya siapa diri saya. Saya tidak akan dapat melakukan ini tanpa anda semua. Ayuh semua!”

Ucapan Penuh Emosi Lewis Hamilton

Dalam temu bual selepas perlumbaan bersama bekas rakan sepasukan Nico Rosberg, Lewis Hamilton berkata:

“Pertama sekali, saya perlu ucapkan terima kasih tak terhingga (grazie) kepada semua di sini, pasukan saya di Ferrari. Semua orang di kilang. Fred [Frederic Vasseur] kerana mempercayai saya dan membawa saya ke pasukan ini.”

“Saya memulakan satu impian tahun lalu yang kelihatan hampir mustahil ketika saya melalui musim itu. Tetapi kami tidak pernah hilang harapan.”

Penantian 2 Tahun Berakhir, Ini Ucapan Penuh Emosi Lewis Hamilton Selepas Menjuarai GP Barcelona
Kredit Foto: Lluis GENE / AFP

“Pasukan terus menguatkan semangat saya. Kami membuat banyak perubahan dan banyak penambahbaikan. Selain itu, saya mempunyai peminat terbaik yang boleh dimiliki oleh seorang atlet. Jadi terima kasih, terima kasih kepada semua.”

“Setiap kemenangan ada keistimewaan tersendiri,” katanya apabila ditanya kedudukan kemenangan ini dalam kerjayanya. Tetapi yang ini, memang sesuatu yang luar biasa.”

“Saya selalu melihat Ferrari berjaya ketika saya masih muda, menontonnya di TV, dan sepanjang saya berlumba di sini, saya selalu tertanya-tanya bagaimana rasanya menang dengan kereta ini.”

“Dan ia akhirnya berlaku. Ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi. Forza Ferrari.”