José Luis Mato Sanmartín atau lebih dikenali sebagai Joselu memainkan peranan penting dalam membawa Real Madrid mara ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2023/24.

Meskipun hanya dimasukkan pada minit ke-81, penyerang berusia 34 tahun itu menjaringkan dua gol untuk menewaskan Bayern Munich 2-1 (agregat 4-3) di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Baca Juga:

Kemenangan yang sekali gus memastikan pertemuan final dengan Borussia Dortmund pada 1 Jun ini di Stadium Wembley, London.

Aksi separuh akhir kedua tersebut berlangsung dengan cukup sengit apabila kedua-dua pasukan berusaha keras untuk memburu jaringan.

Namun, Andriy Lunin dan Manuel Neuer cemerlang dalam menggagalkan usaha yang direncanakan oleh penyerang lawan masing-masing.

Real Madrid bagaimanapun tersentak pada minit ke-68 selepas Alphonso Davies meledakkan percubaan menarik untuk membuka tirai jaringan.

Berselang tiga minit kemudian, jaringan dihasilkan tuan rumah dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) berikutan kekasaran dilakukan Nacho terhadap Joshua Kimmich.

Kemasukan Joselu yang menggantikan Federico Valverde nyata membuahkan hasil setelah penyerang tersebut pantas menolak masuk bola hasil kegagalan Neuer menangkap kemas percubaan awal Vinicius Jr pada minit ke-88.

Beliau kemudiannya muncul wira buat Real Madrid pada masa kecederaan apabila kuisannya setelah menerima hantaran lintang Antonio Rudiger membawa skuad kendalian Carlo Ancelotti itu ke final.

Ia merupakan final ke-18 buat Real Madrid dalam kancah paling berprestij di Eropah itu dimana mereka telah memenangi kejuaraan sebanyak 14 kali.