Badan induk bola sepak dunia, FIFA, sekali lagi mencetuskan polemik dalam arena sukan antarabangsa apabila Presidennya, Gianni Infantino, dilaporkan sedang merancang untuk menubuhkan sebuah entiti komersial baharu yang dikenali sebagai FIFA Forward Enterprise (FFE).

Penubuhan FFE bertujuan untuk mengambil alih segala urusan berkaitan aspek komersial bagi kejohanan-kejohanan utama di bawah seliaan FIFA, terutamanya Piala Dunia.

Ia merangkumi pengurusan hak penyiaran, penajaan global, penjualan tiket, serta pelesenan jenama.

Apa yang menimbulkan kegusaran banyak pihak adalah cadangan FIFA untuk menjual lebih 20 peratus pegangan saham syarikat tersebut kepada pelabur swasta, dengan nilai pelaburan yang dianggarkan mencecah AS$20 bilion.

Meskipun FIFA memberikan jaminan bahawa mereka akan mengekalkan kuasa penuh terhadap segala keputusan teknikal bola sepak dan penganjuran kejohanan, langkah ini dilihat sebagai satu peralihan besar ke arah pengkomersialan sukan yang lebih agresif.

UEFA Tegas Menentang: Bola Sepak Bukan Komoditi Untuk Dijual Beli

Cadangan tersebut bagaimanapun mendapat tentangan hebat daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Pihak UEFA berpendapat bahawa bola sepak tidak seharusnya diperlakukan sebagai aset atau komoditi yang boleh dijual beli kepada pelabur luar demi keuntungan semata-mata.

Selain mempersoalkan tahap ketelusan dalam cadangan penubuhan FFE, UEFA turut mengeluarkan amaran keras untuk memboikot Piala Dunia sekiranya FIFA tetap berkeras mahu menyerahkan pengurusan komersial kepada syarikat pihak ketiga.

Satu mesyuarat tergempar dijangka akan diadakan oleh UEFA bagi membincangkan implikasi jangka panjang sekiranya Infantino meneruskan agenda ini.

Kebimbangan utama UEFA adalah kemungkinan pelabur swasta akan mula memberi tekanan untuk mengubah format pertandingan atau mewujudkan lebih banyak kejohanan baharu demi memaksimumkan pulangan pelaburan mereka.

Situasi ini dikhuatiri akan menjejaskan integriti sukan dan kebajikan pemain.

Alasan FIFA: ‘Ini untuk meraih lebih dana untuk membangunkan bola sepak’

FIFA dalam satu kenyataan menegaskan bahawa peningkatan pendapatan melalui model perniagaan baharu ini akan membolehkan lebih banyak dana disalurkan untuk pembangunan bola sepak di peringkat global.

Walaubagaimanapun, para pengkritik melihat janji tersebut sebagai satu risiko besar.

Isu utama yang menjadi perdebatan bukan sekadar mengenai keuntungan yang dijana, tetapi sejauh mana FIFA akan dipengaruhi oleh kepentingan pelabur swasta setelah mereka melaburkan dana yang besar.

Penglibatan entiti swasta dalam skala sebesar ini dikhuatiri akan menghakis autonomi badan induk tersebut dalam membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan bola sepak dunia.