Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam keputusan FIFA yang menggantung secara percubaan pelaksanaan penggantungan automatik satu perlawanan ke atas penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun.

Keputusan itu membolehkan Balogun diturunkan ketika aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Belgium, meskipun sebelum ini dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Mexico.

Menurut UEFA, keputusan tersebut telah melangkaui batas prinsip asas bola sepak yang selama ini menjamin keadilan dan integriti pertandingan.

UEFA dalam kenyataannya berkata: “Keputusan FIFA semalam untuk menggantung secara percubaan selama setahun pelaksanaan penggantungan automatik satu perlawanan susulan kad merah yang diterima Folarin Balogun telah melangkaui satu garis merah.”

UEFA menegaskan bahawa setiap sukan bergantung kepada peraturan yang menjadi asas kepada pertandingan yang adil, telus dan jujur.

Walaupun sesetengah peraturan boleh ditafsirkan secara berbeza, mereka menegaskan perkara ini bukan salah satu daripadanya.

UEFA menambah: “Penggantungan automatik minimum satu perlawanan selepas kad merah bukanlah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan mengikut budi bicara dan tidak memerlukan sebarang keputusan daripada badan berwibawa untuk dikuatkuasakan.”

UEFA turut menjelaskan bahawa prinsip itu telah lama termaktub dalam peraturan bola sepak dan tidak boleh diberikan pengecualian, lebih-lebih lagi ketika kejohanan sedang berlangsung.

Malah, badan itu mengingatkan bahawa beberapa pemain lain dalam kejohanan sama telah menjalani penggantungan seperti biasa selepas menerima kad merah.

“Prinsip ini telah termaktub dalam peraturan dan tidak boleh dijadikan pengecualian, apatah lagi di tengah-tengah kejohanan apabila beberapa pemain lain berada dalam situasi sama dan tetap menjalani penggantungan mereka,” tegasnya.

Menurut UEFA, jika kepastian terhadap peraturan tidak lagi dipelihara oleh badan yang bertanggungjawab, integriti permainan serta kredibiliti sesebuah pertandingan akan terjejas.

“Apabila kepastian terhadap peraturan tidak lagi dijamin oleh pihak yang sepatutnya menjaganya, integriti permainan dipertaruhkan dan kredibiliti sesuatu pertandingan akan terhakis,” jelas UEFA dengan nada tegas.

UEFA turut memberi amaran bahawa keputusan itu boleh menjadi preseden berbahaya sepanjang baki kejohanan kerana situasi serupa selepas ini perlu menerima layanan yang sama.

UEFA menyatakan: “Keputusan ini mewujudkan satu preseden dalam kejohanan yang sedang berlangsung, di mana semua kes yang serupa selepas ini perlu diberikan layanan yang sama, sekali gus menjejaskan pertandingan.”

Dalam kenyataan sama, UEFA mengingatkan bahawa bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia kerana dimainkan di seluruh dunia menggunakan undang-undang yang sama.

Mereka turut menegaskan bahawa sebarang keputusan dalam Piala Dunia akan memberi kesan besar kepada landskap bola sepak global.

“Bola sepak adalah sukan paling digemari di dunia kerana ia merupakan permainan yang indah dan dipercayai kerana dimainkan di seluruh dunia dengan undang-undang yang sama

“Kami menyatakan rasa tidak percaya terhadap keputusan yang belum pernah berlaku sebelum ini, sukar difahami dan langsung tidak dapat dipertahankan.”