Ada orang asyik komplen cerita Melayu sejak akhir-akhir ni tak boleh blah. Bermula bulan Disember ni ada 3 filem yang pada aku quite ok dan power untuk korang pi tengok iaitu Hanyut (arahan Uwei Haji Saari), Interchange (arahan Dain Said) dan Desolusi (arahan Syafiq Yusof). Kalau korang nak kelainan, pergilah tonton 3 filem ini.
Sebelum ini, ada orang yang membuat teori kegagalan filem Hanyut di pawagam adalah disebabkan kegagalan promosinya. Pada aku teori ini kurang tepat.
Sebenarnya ia adalah berkaitan dengan mentaliti masyarakat kita. Orang kita sebenarnya ada pemikiran begini: ‘semua filem melayu tidak berbaloi untuk ditonton’. Kalau kita tengok filem-filem dari luar takdelah promosi sangat tetapi beratur orang kita nak tengok filem tu, betul tak?
Dan ini ulasan dan pendapat aku tentang filem ini.
1. Interchange adalah sebuah filem Dain Said. Dain sebelum ini sukses dengan filem Bunohan. Pada aku, Interchange adalah sebuah filem yang ‘lain dari yang lain’ dan berbeza dengan ‘kepompong kotak pemikiran lokaliti filem Malaysia’.
2. Melihat kepada perspektif dan ruang lingkup industri perfileman tanah air, kita tahu dan faham, ada 2 jenis pembikin filem; (1) Pembikin filem sebagai pemikir. (2) Pembikin filem yang larut dalam arus kapitalisme.
3. Dalam konteks filem Interchange ini, Dain terbukti adalah ‘pemikir filem’ yang bukan sekadar bermain ‘extramental subject’ tetapi Dain menghurai dengan mendalam tentang konsep typically altering the perspective from their everyday lives. Maksudnya Dain ingin kita menyelami dengan lebih mendalam tentang ‘dunia Interchange’, dunia Adam, Man, Iva, dan Belian.
4. Kita tidak boleh membanding Interchange dengan Bunohan kerana kedua-duanya adalah daripada genre yang berlainan, cuma saya suka untuk membandingkan filem ini dengan filem Susuk arahan Amir Muhammad.
5. Persamaan filem Interchange ini dengan Susuk ialah ‘permainan persoalan’. Kita tengok bagaimana bijaknya Amir mempermainkan otak kita dengan membuat kita keliru tentang watak Suraya dan Suzana.
Begitu juga dengan filem Interchange, Dain membuka filem ini dengan menimbulkan persoalan. Siapa Adam(Iedel Putra)? Kenapa Adam begitu rapat dengan Inspektor Man(Sam)?
Kenapa Adam mengalami halunisasi setiap kali pegang foto kaca? Kenapa Belian jadi burung? Kenapa Man kejar Adam tak dapat-dapat dan persoalan-persoalan yang lain.
6. Begitu juga dengan ‘permainan masa’. Interchange mengjungkar-balikkan masa untuk menjalin babak demi babak untuk menjawab persoalan siapa Adam dan apa hubungannya dengan pembunuhan yang berlaku. Filem ini umpama puzzle.
Plot-plot walaupun naratifnya linear namun kita tertunggu-tunggu apa sebenarnya yang akan dan bakal terjadi pada watak-watak tersebut. Dengan ‘permainan masa’ ini, kita nampak Dain bijak mempergunakan elemen-elemen dialog, props, bingkai screen, kostum untuk mencantum puzzle kronologi untuk menghurai plot.
7. Filem ini juga sangat artistik. Sinematografinya memang superb. Kita tengok babak pergaduhan Man dan Belian dalam hujan dibikin dengan begitu teliti, menarik dan sinematikal.
8. Filem ini mengadun dengan baik elemen sejarah, alam semulajadi, ritual dan budaya menjadikan filem ini sebagai sebuah filem yang sangat baik untuk ditonton. Dain mengangkat budaya dan kehidupan masyarakat Kenyah di Sarawak dalam filem ini.
9. Dan filem ini ada banyak lapis. Pastinya kau tidak akan faham hanya dengan sekali tengok. Antara ciri filem yang baik adalah filem yang membuatkan kita berfikir usai tontonan kita.
10. Watak Adam walaupun naif dan mistik tetapi dia masih dianggap penting oleh Man untuk menyelesaikan kes pembunuhan tersebut. Walhal Man boleh mengharapkan rakan-rakan dalam Metropolis untuk menyelesaikan kes tersebut.
Kenapa ini berlaku? Adakah Dain memberi tafsiran bahawa kita tidak hanya statik dengan alam nyata semata sebaliknya elemen spiritual juga penting untuk menyelesaikan satu-satu masalah.
11. Kita nampak Man ada pergi rumah Adam dan nampak muka Iva (lakonan Prisia Nasution) tetapi kenapa Inspektor sehebat Man boleh terlepas perkara ini? Adam walaupun kecil, naif dan kurus boleh mengalahkan Man yang gagah dan kuat.
Dan, Man tak boleh nak halau Adam dengan pantas. Di sini Dain memberi perlambangan bahawa ‘minoriti tidak semestinya tidak kuat dan majoriti tidak semestinya kuat.’
Kuat (watak Man) atau tidak, bergantung kepada kelicikan dan daya fikir yang hebat (watak Adam) untuk mengharungi survivor kehidupan (plot kejar mengejar).
12. Di akhirnya sumpahan ke atas Belian (Nicholas Saputra) berakhir dan dia ‘free as a bird’. Dain membuatkan kita tidak faham kenapa watak Belian sekadar menjadi side-kick yang membunuh lawan mahupun kawannya sendiri.
Dan mengapa Iva begitu setia kepada Belian hingga ke akhir hayatnya sedangkan dia boleh sahaja melarikan diri, menyelamatkan nyawanya. Dan, Dain meninggalkan kita dengan persoalan, adakah Adam mati begitu sahaja atau menjadi burung seperti Belian?
Filem ini sebenarnya bermain dengan interpretasi. Kita sendiri yang menentukan apa sebenarnya yang terjadi kepada Adam. Aku cadangkan korang rujuk penamat filem Life Of Pi (2012) untuk penamat watak Adam ini.
Pengalaman menonton filem Interchange ini bagi aku sangat mengujakan dan kalau korang nak rasa pengalaman tu, pergilah tonton sekarang!
Baca lagi: 3 Filem Melayu Yang Anda Patut Tonton Pada Disember 2016