Manchester United terus berjimat dengan mengurangkan kos makanan pekerjanya di pejabat, Man United bagi sup percuma dan sandwich sahaja.
Sebelum ini Man United sudah memberhentikan ramai staf dan menarik beberapa pakej insentif dan kelebihan staf.
Ini termasuk tiada lagi pakej pengangkutan, tiket dan hotel percuma jika kelab layak ke aksi final sesuatu pertandingan.
Langkah penjimatan terus diambil diketuai oleh Sir Jim Ratcliffe dari INEOS yang memiliki 27% kepentingan dalam saham Man United.

Dan laporan menyebut, Ratcliffe kini meningkatkan pegangan saham kepada 29%.
Ratcliffe benar benar agresif dalam usaha membantu kelab berjimat cermat. Ini termasuk menamatkan kontrak Sir Alex Ferguson sebagai duta khas kelab itu.
Langkah yang dilaporkan berjaya membantu kelab menjimatkan sekitar £8 juta semusim.
Kelab kemudian membuat pemotongan kos untuk beberapa lagi perkara yang dianggap tidak perlu. Ini termasuk menarik balik pakej diskaun pembelian barangan rasmi kelab oleh pemain legenda mereka.
Selain itu Man United juga menaikkan harga tiket pada hari perlawanan.

Ratcliffe ketika ini berusaha untuk mengurangkan kos dengan lebih banyak untuk membantu pembangunan semula Old Trafford.
Dan terbaru kelab memotong kos untuk perbelanjaan makan tengah hari staf, pegawai dan semua pemain pembangunan. Hanya pemain pasukan utama kelab sahaja tidak terkesan dengan langkah ini.
Langkah itu dikatakan mampu menjimatkan kira kira £8,000.
United bagi sup dan sandwich untuk staf dan pemain pembangunan
Polisi baharu ini akan berkuatkuasa minggu hadapan. Di mana semua staf dan bukan pemain pasukan utama hanya akan menikmati sup dan juga sandwich sahaja yang dibekalkan percuma.
Untuk makanan, lain mereka harus membeli sendiri makanan di kedai sekitar perkarangan kelab.
Seterusnya Sir Jim Ratcliffe juga akan membatalkan kesemua parti dan keraian kelab termasuk parti hari natal.
Selain itu tabung bantuan kebajikan untuk bekas pemain juga dikurangkan.
Untuk menjimatkan kos elektrik dan kos penyelenggaraan padang Old Trafford, tiada lagi aksi untuk Piala FA B-18 yang akan dianjurkan di padang tersebut.
Aksi tersebut akan dipindahkan ke Leigh Sports Village yang berkapasiti 12,000 tempat duduk penyokong. Kelab percaya mereka mampu menjimatkan £8,000 lagi untuk setiap perlawanan Piala FA B-18.
Tindakan Man United bagi sup dan sandwich dan mengurangkan banyak keistimewaan staf mendapat reaksi berbeza daripada peminat mereka.
🚨 Lunch at Manchester United’s Carrington training ground for everyone except first-team players has been reduced to soup and sandwiches – and that includes for coaches and analysts.
(Source: @TheSunFootball) pic.twitter.com/MC4Ls6HkTy
— Transfer News Live (@DeadlineDayLive) February 24, 2025
Salah seorang peminat berkata: “Orang yang bekerja dengan gaji tak seberapa jadi mangsa, sedangkan Mason Mount dapat £300k seminggu tanpa menyumbang apa apa kepada pasukan terus dilayan dan dimanjakan.”