Keluarga mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram telah menyerahkan lebih 10,000 buku dan jurnal undang-undang bernilai kira-kira RM9 juta kepada perpustakaan fakulti undang-undang Universiti Malaya (UM).

Buku-buku itu dihantar ke perpustakaan dengan menggunakan treler seberat lima tan, termasuk jurnal undang-undang yang jarang ditemui sejak 1890.

Baca Juga:

Memetik laporan NST, dekan fakulti undang-undang UM Profesor Dr Jason Chuah berkata pemberian itu penting bagi mengenang hubungan mendiang Sri Ram dengan fakulti undang-undang di UM.

“Pemberian itu juga dibuat untuk mengenang Dr S. R. Ranganathan, datuk saudara kepada isteri Sri Ram Datin Seri Chandra Sri Ram yang membangunkan sistem pengelasan perpustakaan pertama — klasifikasi kolon.

“Ia (klasifikasi kolon) adalah asas dalam bidang sains perpustakaan dan telah mempengaruhi sistem klasifikasi moden di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, koleksi itu bukan sahaja bermanfaat untuk pelajar dan pengamal undang-undang tetapi juga untuk sesiapa yang terlibat dalam penyelidikan undang-undang dan arkib, khususnya buku undang-undang dan sains undang-undang yang jarang ditemui dari semua bahagian Komanwel.

“Koleksi itu akan menempatkan salah satu koleksi terbesar laporan undang-undang India dan buku di luar India, di Asia.

“Memandangkan minat mendiang Sri Ram dalam undang-undang pentadbiran, tidak hairanlah koleksi peribadinya mengandungi salah satu katalog buku paling komprehensif mengenai subjek itu,” terangnya lagi.

Prof Chuah berkata buku-buku itu telah dipindahkan ke perpustakaan undang-undang UM, menunggu proses pengelasan dan penyusunan pada rak yang diketuai oleh ketuanya Adida Mohd Amin.

Naib Canselor, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman mengucapkan terima kasih kepada Datin Seri (Chandra) kerana telah memberikan sumbangan penting kepada Universiti Malaya untuk generasi akan datang.

Pusat Komunikasi Korporat UM dalam kenyataan berkata koleksi yang dinamakan sebagai ‘Koleksi Peribadi Mendiang Hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram’ itu disumbangkan oleh Datin Seri Chandra Sri Ram kepada UM sebagai ingatan kepada Pustakawan dan Saintis Maklumat tersohor dunia, Dr S.R. Ranganathan.

Koleksi itu akan ditempatkan di perpustakaan undang-undang UM bagi memperingati hubungan mendiang Sri Ram dengan fakulti undang-undang universiti itu.

Sumber