Sering kali apabila mengongsikan kisah mengenai bisnes, pastinya kisah kejayaan antara yang dikongsikan disertai dengan ‘trofi kejayaan’ seperti rumah yang besar dan kereta mewah.
Namun lain ceritanya buat usahawan yang dikenali sebagai Abbas He di Twitter ini di mana beliau memilih untuk mengongsikan kisah kegagalan beliau bernilai RM20,000 dalam usaha untuk menghasilkan beg yang berkualiti tinggi dan praktikal buat para pengguna.
Aku buat jenama VASKA ni pada tahun 2019. Sebelum tu, aku banyak jadi reseller kepada brand-brand beg yang lain. Dari pouch bag, sampai lah ke backpack yang besar gedabak tu. Semua aku jual
Tinggal beg mayat ja aku belum jual lagi. Haha! pic.twitter.com/M8MszlX7CL
— Abbas He (@abbas_he) June 20, 2021
Kisahnya bermula apabila beliau yang aktif menjual beg sejak tahun 2016 mahu mencuba sesuatu yang baru dan melebarkan lagi bisnes beliau dengan menghasilkan beg jenama beliau sendiri.
Idea untuk menghasilkan beg jenama beliau sendiri ini terhasil selepas mendapati beg yang berada di pasaran masih terdapat ruang untuk diperbaiki. Terkadang terdapat beg yang menarik perhatian namun kurang dari segi praktikaliti dan begitu juga sebaliknya.
Misi aku sederhana, aku nak bina beg-beg yang praktikal dan lasak. Setiap keluaran beg VASKA mesti diuji dari segi ketahanan dan paling penting perlu praktikal.
Kalau tak lasak & praktikal, tak jual!
— Abbas He (@abbas_he) June 20, 2021
Beliau kemudiannya mulai mengorak langkah menghasilkan beg jenama sendiri yang dinamakan sebagai Vaska. Nama Vaska tersebut diilhamkan daripada Bahasa Swedish yang bermaksud beg.
Misi beliau hanyalah untuk menghasilkan beg yang praktikal dan lasak. Menurut Abbas, beliau pada ketika itu mahukan beg yang memenuhi kehendak seorang pelajar mahupun mereka yang bekerja di mana ruang untuk meletak komputer riba serta fungsi kalis air antara prioriti yang dicari dalam sesebuah beg.
Beg pertama yang aku keluarkan adalah VASKA Messenger Bag 21 Liter. Beg ni aku buat di GZ, China sebab fabrik dan sistem untuk bag ni agak complicated.
Aku nak buat messenger bag dengan material yang kalis hujan ! pic.twitter.com/tvvLnkdYeC
— Abbas He (@abbas_he) June 20, 2021
Beliau sedar misi untuk menjayakan beg ini bukan mudah. Berbekalkan duit modal, beliau meneruskan usaha ke Guangzhou, China dalam menghasilkan Vaska Messenger Bag 21 liter daripada fabrik dan sistem zip yang berkualiti tinggi.
Beg diterima dan masalah baru sahaja bermula
Usaha beliau seolah terbalas apabila beg yang bermula sebagai rekaan atas sebuah kertas menjadi kenyatan selepas enam bulan penantian. Walau bagaimanapun, beliau baru sahaja sedar cabaran yang lebih besar menanti dalam mempromosikan beg yang dihasilkan penuh usaha ini.
Terpaling puas hati lah beg ni. Aku dah test drive beg ni dalam hujan hampir 6 kali. Memang laptop aku dekat dalam tak basah.
Waktu aku test tu, senyum sorang-sorang atas motor geng. Eksaited ada beg jenama sendiri. Hahaha🤣 pic.twitter.com/ksEG3HJ1ce
— Abbas He (@abbas_he) June 20, 2021
Usaha perlu diteruskan, beliau memulakan ujian dengan menguji fabrik beg ini disertakan dengan komputer riba di dalam bagi memastikan beg yang dijual menjadi kepuasan buat para pembeli.
Beg gagal dijual dan kos kerugian bertambah
Beg pertama ni gagal bukan sebab beg tu tak power. Beg dah power, tapi aku yang tak power nak buat marketing dan manage perniagaan. Beg tu tersangat okay dah.
— Abbas He (@abbas_he) June 20, 2021
Setelah beberapa bulan mencuba untuk menjual beg yang diyakini lengkap spesifikasi untuk memuaskan hati pelanggan, beliau kemudiannya sedar bahawa kekuatan pada produk sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya, kurangnya ilmu pemasaran serta pengurusan antara faktor yang mengundang kegagalan beliau.
Abbas akui kesalahan terbesar beliau adalah beliau hasilkan beg yang beliau minat dan menetapi citarasa beliau sendiri dan bukannya mengikut minat target pasaran.
Sebelum keluarkan produk, sila kaji dulu samada ada demand atau tak ada demand.
Macam mana nak kaji?
Nanti lah aku buat thread lain. Bagi chance aku throwback kisah gagal aku dulu.
— Abbas He (@abbas_he) June 20, 2021
Selain itu, beliau turut memberi pesanan kepada para usahawan di luar sana untuk tidak terlalu obses dalam membuat produk sendiri agar situasi yang berlaku yang berlaku kepada beliau tidak diulangi.
Seeloknya sebelum keluaran produk, kaji terlebih dahulu produk tersebut mempunyai permintaan yang tinggi atau sebaliknya.
Bangkit semula bersama pasukan kecil Vaska
Menurut perkongsian, beliau kini semakin stabil selepas dua tahun beroperasi bersama pasukan kecil Vaska yang dianggotai enam orang pekerja beserta tujuh produk terdiri daripada beg dan wallet.
Difahamkan produk-produk beliau seterusnya berjaya dijual dengan laris sehingga 5,000 unit pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Lebih menarik, beliau berjaya menghasilkan produk beliau di Malaysia sahaja.
Sehingga kini, Vaska sudah memiliki beberapa produk terdiri daripada Vaska Messenger Bag, Vaska Daily Sling, Vaska Crossbody Bag, Vaska Crossbody XL dan Vaska RFID Wallet.
Buat anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jenama serta produk keluaran Vaska, anda boleh klik di sini untuk ke laman rasmi Vaska atau boleh mendapatkannya secara terus di laman Shopee Vaska.
Ikuti juga pengajaran yang diperoleh usahawan ini selepas mengusahakan bisnes kedai makan RM2. Turut dikongsikan, kegigihan usahawan tempatan ini dalam mencipta kelainan bagi memenuhi pasaran sos.
20 Pengajaran Yang Saya Belajar Selepas Usahakan Bisnes Kedai Makan RM2
Mahu Cipta Kelainan Dalam Pasaran, Lelaki Ini Kongsikan Bagaimana Terciptanya Sos Cheesebomb