Walaupun sudah terdapat sejumlah model dashcam yang dijual pada harga mampu milik di dalam pasaran, masih ada yang berdegil enggan memasangnya kerana percaya ia tidak sepenting mana.
Tetapi dengan video berdurasi 10 saat yang beredar di platform TikTok baru-baru ini sudah cukup menjadi satu seruan yang jelas mengapa perlu adanya dashcam pada kenderaan yang dibawa di jalan raya.
Menerusi video yang dimuat naik oleh akaun TikTok @capybarashop85 memperlihatkan satu tindakan merbahaya dilakukan oleh seorang individu di tengah lebuh raya yang berjaya dirakam secara tidak sengaja.
Pada ketika itu, pemandu Saga secara tiba-tiba memperlahankan keretanya dan langsung beralih ke laluan kanan.
Rupanya dia mahu mengelak daripada seorang individu yang dipercayai melakukan aksi berbahaya dengan cubaan melompat ke atas kereta bagi tujuan menipu pampasan insurans dan memperlihatkan dia seperti dilanggar oleh kereta sasaran.
Sebagai maklumat, taktik penipuan kemalangan ini sudah lama digunakan oleh sesetengah dalam individu yang mahu mendapatkan wang mudah dengan mengugut pemandu yang menjadi mangsanya.
Dengan berlakon menjadi mangsa kemalangan, pemandu yang ketakutan akan termakan dengan ugutan suspek lalu meminta wang insuran dengan alasan sebagai pampasan.
Bayangkan kalau tiada dashcam, sudah pasti suspek lebih mudah untuk memerangkap mangsanya.
Video berdurasi 10 saat itu sebenarnya sudah cukup menjadi alasan kukuh mengapa setiap pemilik kenderaan perlu memiliki dashcam kerana mampu mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa penipuan kemalangan.
@
“Hati-hati dijalan raya, ada ramai orang yang mengambil kesempatan. Wajib pasang dashcam pada kereta supaya kita ada bukti yang kukuh untuk mempertahankan diri,” tulis pemilik video pada kapsyen.
Melihat respons di dalam ruangan komentar, rata-ratanya meluahkan rasa terkejut melihat tindakan berani mati yang ditonjolkan oleh suspek yang bukan sahaja membahayakan nyawa malahan pengguna jalan raya lain juga.
Ada yang berpendapat sudah sampai masanya untuk kerajaan mewajibkan dashcam pada setiap kereta dan motor supaya boleh menghindari diri daripada menjadi mangsa penipuan dan berupaya dijadikan bukti untuk diambil tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.