Andros Townsend berdepan detik mencemaskan apabila beliau dilanggar sebuah mesin penggelek padang ketika sedang melakukan pemanasan badan sebelum aksi Thai League 1, semalam.

Bekas pemain Tottenham Hotspur dan skuad kebangsaan England itu ketika itu sedang memanaskan badan bersama rakan sepasukannya dari PT Prachuap menjelang perlawanan menentang Pattani FC di Tinnasulanon Stadium.

Malang Tak Berbau Buat Andros Townsend

Dalam kejadian pelik tersebut, Townsend secara tidak sengaja berada di laluan mesin penggelek yang sedang dipandu oleh seorang kakitangan stadium.

Jentera berkenaan kemudian melanggarnya sebelum bergerak di atas bahagian kakinya hingga hampir ke paras pinggang.

Pemandu mesin itu segera memberhentikannya dan cuba mengalihkan mesin berkenaan daripada Townsend. Rakan-rakan sepasukannya yang berada berhampiran turut kelihatan terkejut dengan kejadian tersebut.

Yang menghairankan adalah bagaimana mesin penggelek itu dibenarkan berada di atas padang ketika para pemain sudah menjalani sesi pemasan badan.

Bagaimanapun, Townsend bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius dalam insiden berkenaan.

Lebih mengejutkan, pemain berusia 35 tahun itu meneruskan pemanasan badan selepas kejadian tersebut dan kekal berada dalam senarai pemain PT Prachuap.

Beliau akhirnya dimasukkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan ketika PT Prachuap mencatat kemenangan 3-0 ke atas Pattani FC.

Townsend kemudian mengambil kesempatan untuk berseloroh mengenai insiden berkenaan menerusi media sosialnya.

Beliau yang turut pernah bermain bersama Newcastle United, Crystal Palace dan Everton itu berkongsi beberapa hantaran berkaitan kejadian tersebut, termasuk gurauan yang mengaitkannya dengan pengalaman bermain di Stoke City.

“Rupanya bermain di tempat lawan Stoke tidaklah seteruk itu [kejadian di Pattani],” tulis Townsend kemudian di Instagram, sambil berseloroh mengenai reputasi Stoke City sebagai pasukan yang terkenal menyukarkan pasukan pelawat untuk beraksi di laman mereka.

Insiden pelik itu menjadi tular selepas rakaman Andros Townsend dilanggar mesin penggelek ketika pemanasan badan tersebar di media sosial dan berita mengenainya tersebar hingga ke Eropah.