Bintang baharu Kanchanaburi Power F.C, Andros Townsend teruja mendapat tahu bahawa dia bakal beraksi bersama dengan Sergio Aguero di kelab itu.

Pada 5 Ogos 2025, pemain sayap berpengalaman asal England, Andros Townsend, sah menyertai kelab Thailand, Kanchanaburi Power FC, yang baru sahaja dinaikkan ke Thai League 1. Menjadikan ini kelab profesional ke-16 dalam kariernya.

Townsend memulakan perjalanan bola sepak bersama akademi Tottenham Hotspur sebelum mewakili beberapa kelab EPL seperti Newcastle United, Crystal Palace, Everton dan Luton Town, serta pernah beraksi di Turki bersama Antalyaspor.

Sepanjang karier antarabangsa, beliau mengumpul 13 kaps bersama England dan menjaringkan tiga gol.

Kanchanaburi Power FC, yang ditubuhkan pada 2017, telah melalui beberapa penjenamaan sebelum membawa masuk Townsend sebagai salah satu penandatanganan terbesar mereka.

Langkah ini dilihat sebagai strategi untuk meningkatkan profil kelab dan menarik peminat bola sepak tempatan serta antarabangsa.

Menariknya, Townsend memilih untuk memakai nama “Townsend Sr.” pada jersi, sebagai penghormatan kepada anak lelakinya, Andros Townsend Jr.

Kehadirannya diharap dapat memberi inspirasi kepada pemain muda serta membantu pasukan mengekalkan kedudukan dalam liga utama Thailand.

Perpindahan ini mengejutkan ramai peminat, namun ia membuktikan bahawa karier pemain bola sepak tidak semestinya terhenti di Eropah, sebaliknya peluang masih luas di pentas bola sepak Asia.

Andros Townsend ingatkan Kun Aguero

Namun ada satu kisah yang menarik. Andros Townsend pada awalnya menjangkakan bahawa dia bakal bergandingan dengan bekas penyerang antarabangsa Argentina yang juga legenda Man City, Sergio Kun Aguero.

Dia merasa sangat teruja. Menjangkakan bahawa Kun Aguero sudah keluar dari persaraan untuk bermain di Thailand.

Dan akhirnya dia mendapat tahu bahawa Sergio Aguero yang dia beraksi bersama di kelab baharunya adalah Sergio Aguero pemain kebangsaan Harimau Malaya.

Townsend berkata: “Saya fikir bahawa saya beraksi bersama Sergio Aguero [Kun Aguero], malangnya itu bukan orangnya.”

townsend