Semangat kesukanan yang sepatutnya menjadi teras dalam setiap pertandingan bola sepak atau apa sahaja jenis sukan sering kali diuji apabila insiden yang tidak diingini berlaku.
Kali ini terdapat pergaduhan melibatkan pemain peringkat remaja pada perlawanan akhir Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Johor 2024 yang berlangsung di SMK Mersing, petang tadi.
Baca Juga:
- Pergaduhan Besar Warnai Kemenangan Perancis Ke Atas Argentina
- Polis Cari Pemain Bola Sepak Bawa ‘Kerambit’ Masuk Padang
- ‘Gila Dan Melampau’ – Pemain Amatur Ini Bawa Kerambit Ke Perlawanan Bola Sepak
Perlawanan akhir kategori bawah 18 tahun (B-18) yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Sinija itu menyaksikan insiden tolak-menolak di tengah padang melibatkan MSS Batu Pahat dan MSS Johor Bahru menjadi semakin tegang ekoran tindakan melulu penjaga gol Johor Bahru.
Insiden itu berlaku sebaik sahaja MSS Batu Pahat menjaringkan gol kedua pada lewat permainan yang turut merupakan jaringan kemenangan mereka hasil sumbangan Syahir. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-1 buat MSS Batu Pahat.
@yeop_gagap89 Darah panas adik2 kita. Banyakkan bersabar.
♬ original sound – Meor Abdullah Syamim – Meor Abdullah Syamim
Penjaga gol tersebut yang datang dari posisinya bertindak menolak kasar dengan niat pemain berjersi nombor 5 MSS Batu Pahat hingga menyebabkan pemain tersebut bertindak balas dan keadaan menjadi semakin tidak terkawal.
Insiden yang akhirnya dapat dikawal dengan baik pengadil itu menyebabkan dua pemain MSS Johor Bahru dilayangkan kad merah manakala seorang pemain MSS Batu Pahat menerima nasib serupa.
Walaupun ketegangan aksi di padang adalah perkara biasa dalam perlawanan bola sepak atau mana-mana sukan sekalipun, tindakan keganasan tidak seharusnya diterima sebagai sebahagian daripada budaya sukan terutamanya di peringkat remaja.
Pihak sekolah, pengurusan pertandingan dan pihak berkenaan perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan situasi sebegini tidak berulang.
Ini termasuk dalam memberikan pendidikan yang lebih mendalam tentang etika sukan kepada pemain dan meningkatkan keselamatan di kawasan padang.