Kemenangan 2-0 pada aksi terakhir bertemu Al-Tai berjaya mengekalkan pendatang baharu saingan Saudi Pro League, Al-Okhdood dalam kempen liga tersebut bagi musim hadapan.

Al-Okhdood yang dibimbing pengendali kelahiran Algeria, Noureddine Zekri menamatkan saingan liga dikedudukan ke-15 hasil sembilan kemenangan, enam keputusan seri dan 16 kekalahan untuk mengumpul 33 mata.

Baca Juga:

Hanya satu mata meninggalkan pasukan di zon penyingkiran iaitu Abha yang akan turun ke Yelo League (Divisyen 1) bersama-sama Al-Tai dan Al-Hazm.

Kejayaan manis dan cukup bermakna buat pasukan yang tidak mendapat limpahan wang seperti kelab-kelab gergasi lain iaitu Al-Hilal, Al-Nassr, Al-Ittihad dan Al-Ettifaq.

Dalam meraikan kejayaan manis buat skuad kendaliannya, Zekri dengan bersahaja meluahkan kegembiraannya dengan berlari sekuat hati masuk ke dalam padang.

Beliau tidak bersendirian apabila barisan pemainnya turut sama berlari mengejar Zekri dan meraikan kejayaan bermakna itu.

Mungkin jika tiada pemain yang mengejarnya, beliau akan terus berlari tanpa henti sebagai tanda puas pasukannya dapat terus beraksi dalam saingan utama pada musim hadapan.

Satu keraian yang mungkin jarang dapat disaksikan melainkan antara diingati ialah ketika detik Jose Mourinho berlari ke arah pemainnya sewaktu Porto mengikat Manchester United di Old Trafford dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2003/04.

Al-Okhdood menjadi pasukan keempat yang berjaya diselamatkan oleh Noureddine Zekri dimana sebelum ini beliau pernah mengelakkan Al-Raed (2013/14), Al-Fayha (2018/19) dan Damac (2019/20) daripada turun ke Divisyen 1.