Haiwan bernama panda cukup terkenal dengan kecomelan malah sering mempunyai imej yang baik kerana mereka lebih gemar tidur dan bermain seperti anak kecil.

Di Malaysia, kita mempunyai panda bernama Nuan Nuan iaitu anak panda gergasi betina yang dilahirkan di Zoo Negara pada 18 Ogos 2015. Nuan Nuan ialah anak kepada pasangan panda Feng Yi dan Fu Wa, yang dipinjamkan oleh China kepada Malaysia sebagai simbol diplomatik.

Nama Nuan Nuan bermaksud “kehangatan” dalam bahasa Mandarin, melambangkan hubungan erat antara Malaysia dan China.

Video Panda Malaysia Berubah Jadi Agresif Di China Buat Satu Dunia Terkejut
Sumber Gambar: Harian Metro

Sepanjang Nuan Nuan di bawah penjagaan negara Malaysia, dia telah menjadi bualan hangat di media sosial global kerana dijaga bagai menantang minyak yang penuh, sampaikan tahap bulu putihnya bak salju dan sentiasa bersih.

Gelagat manja panda Malaysia juga bersama penjaga turut menjadi sorotan di peringkat global susulan tiada tempat penjagaan sebaik ini.

Bagaimapun, baru-baru ini tular sebuah video yang memperlihatkan satu sisi gelap Nuan Nuan yang selama tidak pernah dilihat oleh satu dunia.

Di dalam video itu, Nuan Nuan kelihatan berubah menjadi agresif dan telah mengejar seekor burung merak dengan laju dan cuba mencederakan mahluk itu.

Difahamkan panda Malaysia itu menjadi marah susulan diprovokasi oleh seekor merak yang berkeliaran bebas di dalam kawasan zoo itu.

Sebagai tindak balas, Nuan Nuan “mengajar” merak tersebut dengan memukulnya dengan teruk dan mencabut bulu ekor merak itu.

Susulan video itu telah beredar dengan meluas di media sosial, orang ramai meluahkan rasa terkejut melihat sifat sebenar panda yang cukup agresif apabila sudah dalam keadaan marah.

“Ini kali pertama saya melihat panda yang marah,” ujar seorang pengguna.

“Ini kali pertama saya melihat seekor panda berlari begitu laju. Panda yang saya pernah lihat sebelum ini hanya terbaring tanpa bergerak,” komen seorang lagi.

“Dan orang tertanya-tanya macam mana mereka boleh terus hidup… jangan cari pasal dengan panda,” tambah seorang pengguna lain.

Sementara sebahagian warganet berseloroh menyamakan situasi itu dengan filem ikonik Kung Fu Panda yang kebetulan mempunyai protaganis, burung merak putih bernama Lord Shen.