Slogan 100 peratus anak tempatan kini tidak terpakai lagi pada skuad bola sepak Vietnam apabila mereka mula mengikut jejak langkah negara lain dengan mengambil pemain naturalisasi.

Laporan daripada Vn Express sebelum ini mengesahkan penjaring terbanyak Liga Vietnam, Rafaelson dari Brazil sudah menyelesaikan proses naturalisasi dan kini berstatus warganegara Vietnam secara rasmi.

Baca Juga:

Nama beliau didaftarkan sebagai Nguyen Xuan Son dan layak beraksi di Liga Vietnam sebagai pemain tempatan bersama kelabnya Nam Dinh FC.

Malah, nama beliau turut berada dalam senarai pemain yang bakal beraksi di Piala AFF Mitsubishi Electric hujung tahun ini.

Menurut laporan media Vietnam, Xuan Son tidak menyertai kem latihan pusat di Korea Selatan namun namanya bakal didaftarkan dalam senarai akhir sebelum perlawanan bermula.

Beliau dijangka membuat penampilan pertama pada 20 Disember ketika aksi menentang Myanmar dan menjadi senjata terbaharu Vietnam bagi menghadapi perlawanan peringkat separuh akhir.

Penyerang yang berusia 27 tahun itu mula bermain di Vietnam pada awal 2020 untuk Nam Dinh, kemudian berpindah ke SHB Da Nang dan Binh Dinh sebelum kembali ke Nam Dinh.

Pada musim 2023-2024, karier Rafaelson memuncak, mencipta sejarah apabila muncul sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Vietnam dengan 31 gol. Dia turut membantu Nam Dinh memenangi Liga Vietnam.