Real Madrid dilaporkan telah mengemukakan tawaran kontrak baharu yang lebih lumayan kepada Vinicius Junior sekali gus menghidupkan semula rundingan yang sebelum ini tergendala hampir setahun.
Spekulasi mengenai masa depan pemain antarabangsa Brazil itu semakin hangat sejak beberapa minggu kebelakangan ini memandangkan kontraknya bersama Real Madrid akan berakhir pada Jun 2027.
Malah, angin semakin kencang mengaitkan pemain sayap lincah itu dengan minat juara Liga Perdana Inggeris, Arsenal.
Ini Tawaran Baharu Real Madrid Buat Vinicius Junior
Menurut sumber laporan ESPN, Real Madrid kini dilaporkan menawarkan kontrak baharu bernilai sekitar €22 juta ($25 juta) setahun kepada Vinícius.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding tawaran yang pernah dikemukakan kelab sepanjang rundingan dalam dua musim lalu. Bagaimanapun, tempoh kontrak baharu tersebut masih belum didedahkan.
Namun, jurang antara tawaran terbaharu Real Madrid dan tuntutan Vinicius yang dikatakan mencecah sekitar €30 juta ($34 juta) setahun masih agak besar.
Ketika ini, Vinícius dilaporkan menerima gaji sekitar €17.5 juta ($20 juta) setahun menjelang musim terakhir kontraknya bersama Real Madrid.
Sekiranya gagal mencapai persetujuan untuk memperbaharui kontrak, pemain tersebut berpotensi meninggalkan Santiago Bernabeu secara percuma pada penghujung musim ini, malah dibenarkan menandatangani perjanjian pra-kontrak dengan kelab lain bermula Januari depan.
Vinicius dan wakilnya, Roc Nation Sports International percaya kontrak baharu yang bakal ditandatangani pada usia 26 tahun ini akan menjadi kontrak paling penting dalam kariernya.
Mereka percaya Real Madrid seharusnya memberikan penghargaan yang sewajarnya terhadap sumbangan besar pemain bintang itu sejak menyertai kelab tersebut pada 2018, termasuk menjaringkan gol dalam dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.