Wakil kepada bintang sensasi Real Madrid, Vinicius Junior tampil menepis laporan yang disifatkan sebagai “palsu dan memudaratkan” berhubung masa depan pemain tersebut.

Di sebalik spekulasi hangat yang mengaitkan pemain sayap tersebut dengan perpindahan sensasi ke Arsenal, Roc Nation Sports International mengeluarkan kenyataan tegas sambil menggesa media supaya lebih bertanggungjawab dalam melaporkan sesuatu berita.

Kenyataan keras itu merupakan respons terhadap laporan media kebelakangan ini yang membabitkan pelanggan berprofil tinggi mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, organisasi yang diasaskan oleh Jay-Z itu meluahkan rasa kecewa terhadap cara laporan berkaitan jendela perpindahan semasa dikendalikan oleh media.

Walaupun kenyataan itu tidak menyebut secara khusus laporan yang dimaksudkan, ia dikeluarkan ketika spekulasi mengenai kemungkinan pemain antarabangsa Brazil itu meninggalkan Stadium Santiago Bernabeu semakin memuncak.

Khabar angin berhubung masa depan Vinicius kini semakin hangat diperkatakan, sekali gus mencetuskan pelbagai laporan mengenai destinasinya yang seterusnya untuk ke Arsenal.

“Roc Nation Sports International bersama seluruh pasukan kami tidak akan hanya berdiam diri apabila media yang tidak profesional dan tidak membuat semakan sewajarnya menerbitkan laporan palsu serta memudaratkan semata-mata untuk meraih perhatian,” ujar presiden agensi tersebut, Micheal Yormark menurut sumber laporan Goal.

“Perkara ini lebih tidak boleh diterima apabila ia menyasarkan pelanggan kami secara peribadi tanpa sebarang asas. Tindakan sebegitu mengganggu, memudaratkan dan berunsur fitnah.”

“Organisasi media serta para wartawan perlu lebih bertanggungjawab terhadap laporan yang mereka terbitkan.”

Arsenal Berminat Dapatkan Vinicius Junior

Walaupun wakilnya tampil menafikan segala spekulasi itu, nama Vinicius Junior terus menjadi antara topik hangat dalam kalangan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris.

Pemain berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa terakhir kontraknya bersama Real Madrid, dengan beberapa laporan mendakwa rundingan lanjutan kontrak masih menemui jalan buntu.

Situasi itu dilaporkan menarik perhatian pengurusan Arsenal yang dikatakan bersedia memecahkan struktur gaji tradisi kelab selain menawarkan pakej hak imej yang lumayan bagi mendapatkan khidmat antara pemain terbaik dunia itu.

The Gunners juga dilaporkan terus memantau perkembangan Vinicius di Stadium Santiago Bernabeu.

Minat Arsenal terhadap Vinicius bukanlah perkara baharu, namun setakat ini masih belum ada rundingan rasmi melibatkan kedua-dua kelab.

Kelab dari utara London itu juga cukup aktif dalam jendela perpindahan kali ini dalam usaha memperkukuhkan skuad dan merapatkan jurang dengan pencabar utama mereka di pentas domestik.

Sumber