Mengikut laporan Saudi Gazette, visa umrah kini boleh ditukar menjadi visa pelancong.
Presiden Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH), Putera Sultan bin Salman melancarkan Program Pasca Umrah pada Ahad lepas sebagai satu inisiatif yang membolehkan jemaah umrah untuk menukar visa mereka menjadi visa pelancong.
Ia merupakan saluran utama inisiatif “The Kingdom is Muslims’ Destination” yang dicadangkan oleh suruhanjaya tersebut beberapa tahun lalu.
Dalam satu kenyataan media selepas majlis pelancaran di Riyadh, Putera Sultan berkata program itu bertujuan memberi peluang kepada jemaah umrah untuk melihat mercu tanda negara, tapak bersejarah Islam, destinasi pelancongan yang menarik dan pusat-pusat membeli-belah.
Jemaah umrah juga berpeluang untuk melakukan lawatan kebudayaan, perubatan, pendidikan, pemasaran, pameran atau menghadiri persidangan setelah selesai melakukan ibadah umrah, katanya.
Pemegang visa perniagaan dan warganegara GCC juga berpeluang menyertai Program Pasca Umrah.