Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pengasas platform FashionValet, Datin Vivy Yusof, dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bagi mendapatkan pasport buat sementara hari ini bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah umrah.

Memetik Harian Metro, Hakim Rosli Ahmad membenarkan pasport diserahkan kepada kedua-duanya  menerusi peguamnya selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan itu.

Baca Juga:

Peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri itu memohon pasport diserahkan sementara kepada anak guamnya yang akan bertolak ke Arab Saudi pada 5 Januari untuk menunaikan umrah.

Pasport itu akan diserahkan semula pada 15 Januari nanti.

“Kedua-dua anak guam akan pulang ke Malaysia pada 14 Januari. Oleh itu, pasport akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 15 Januari.

“Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ketiadaan pasport menyukarkan proses mendapatkan visa dan sebagainya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan itu. Pada masa sama beliau bertanya perancangan untuk menunaikan umrah dilakukan sebelum atau selepas pertuduhan dibuat.

Fadzaruddin bangun dan menjawab secara ringkas bahawa perancangan ke Tanah Suci dilakukan selepas pertuduhan.

Terdahulu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.

Sumber