Ada pemain yang menjadi bintang sejak usia remaja. Ada pemain yang memenangi trofi ketika berusia 20-an.

Ada pemain dibangunkan dari sistem bola sepak elit sejak lahir di negara bola sepak yang dianggap kuasa besar – bermain di liga terbaik sejak usia muda.

Namun ini adalah kisah yang berbeza sama sekali. Ini kisah pemain yang bermain untuk negara kerdil yang impiannya tidak pernah luput.

Vozinha hanya membuat debut profesional pada usianya 25 tahun.

Dan akhirnya pada usia 40 tahun, dia membuat debut di pentas tertinggi, Piala Dunia, dengan persembahan memukau. Tiada siapa yang meletakkan harapan tinggi kepada penjaga gol yang hanya bermain di Liga Divisyen 2 Portugal.

Vozinha
Foto: Malaysia NT

Persembahan MOTM itu bukan calang calang, tetapi menentang Sepanyol, juara Eropah dan pasukan di ranking kedua dunia ketika ini. Namanya Vozinha.

Vozinha bak tembok besi berdepan Sepanyol

Ketika Sepanyol turun sebagai juara Eropah dan antara pasukan pilihan Piala Dunia 2026, hampir tiada siapa memberi peluang kepada Cape Verde.

Negara kepulauan kecil dengan populasi sekitar setengah juta orang itu hanya datang sebagai pasukan debutan yang dijangka menjadi mangsa belasahan.

Ada juga yang memperlekehkan mereka mara hanya semata mata memenuhkan slot, kerana format kejohanan yang telah diluaskan kepada 48 pasukan.

Tetapi bola sepak sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk menghasilkan kisah yang tidak masuk akal. Dan Vozinha membuktikan kenapa dia dan negaranya layak berada di Piala Dunia.

Satu demi satu percubaan Sepanyol ditepis. Ferran Torres gagal. Oyarzabal gagal. Laporte gagal. Sepanyol melepaskan puluhan percubaan, namun penjaga gol berusia 40 tahun itu enggan mengalah.

cape verde vozinha
Foto: X

Dia merekodkan tujuh penyelamatan dan membantu Cape Verde mengikat Sepanyol 0-0. Hasilnya, negara itu memperoleh mata pertama dalam sejarah Piala Dunia mereka.

Debut bersejarah

Lebih luar biasa, Vozinha mencipta sejarah sebagai penjaga gol tertua yang melakukan debut Piala Dunia dengan mencatatkan clean sheet. Menafikan 1.78 potensi gol lawan.

Debut dan prestasi penjaga gol yang bakal dikenang di masa masa mendatang

Lebih dari sekadar statistik, kisah yang diukir ini juga adalahย tentang seorang lelaki yang terus bertahan ketika ramai sudah berhenti bermimpi.

Ketika ramai pemain seusianya sudah bersara atau menjadi jurulatih, Vozinha masih berlatih, masih berjuang dan masih percaya suatu hari nanti dia akan memakai jersi Cape Verde di pentas terbesar dunia.

Apabila wisel penamat dibunyikan, dia menangis. Bukan kerana seri dengan Sepanyol. Bukan kerana memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

 

Tetapi kerana teringat kepada datuk dan nenek yang membesarkannya, yang sudah tiada untuk menyaksikan saat bersejarah itu. Ibunya pula tidak dapat hadir ke stadium pada hari terbesar dalam kariernya. Ini kerana menurutnya, isu visa yang rumit, membuatkan sang ibu terpaksa melupakan hasrat mahu menyaksikan anaknya beraksi di stadium Piala Dunia.

Dalam beberapa jam sahaja, dunia mula mengenali namanya. Akaun Instagram yang sebelum ini mempunyai sekitar 50,000 pengikut melonjak melebihi dua juta dalam masa 2 jam.

Ketika artikel ini ditulis, jumlah pengikut IG-nya sudah lebih 4 juta. Angka itu terus meningkat. Menjadikan Vozinha sebagai pemain popular pada hari ini.

Vozinha: 40 Tahun, Satu Debut Piala Dunia Dan Sebuah Kisah Tentang Kesabaran

Sebagai tambahan, Cape Verde hanya mempunyai populasi penduduk sebanyak 500 ribu sahaja.

Daripada penjaga gol yang hanya dikenali di Portugal dan Cape Verde, dia tiba-tiba menjadi wira global.

Late bloomer yang menginspirasikan

Tetapi mungkin perkara paling indah tentang kisah Vozinha bukanlah jumlah pengikut itu. Sebaliknya, ia adalah peringatan bahawa dalam dunia yang obses dengan bakat muda, masih ada ruang untuk mereka yang tidak pernah berhenti percaya.

Kerana kadangkala, ganjaran terbesar bukan datang ketika anda berumur 20 tahun. Kadangkala ia datang pada usia 40 tahun.

Dan apabila ia tiba, seluruh dunia akan berdiri untuk bertepuk tangan untuk wira baru.

Malam itu, Vozinha bukan sekadar menyelamatkan gawang Cape Verde.

Dia menyelamatkan impian semua orang yang pernah diberitahu bahawa mereka sudah terlambat.