Dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran ini, pelbagai usaha dilakukan oleh rakyat Malaysia bagi mencari pendapatan tambahan sekaligus meletakkan diri di kedudukan yang selesa.

Antara platform yang menjadi pilihan ramai untuk mendapat pendapatan tambahan ialah dengan menjadi penghantar makanan sama ada menggunakan khidmat Grab atau Foodpanda.

Baca Juga:

Baru-baru ini, salah seorang ‘walker’ Foodpanda yang gigih menghantar makanan dari Ampang ke Bukit Bintang yang memerlukan beliau untuk menempuh satu jam perjalanan mendapat pujian dari netizen.

Menurut perkongsian Topek Daniel, beliau pada mulanya mahu hilang sabar kerana makanan yang dipesannya lambat sampai dan bertindak menghantar mesej kepada si penghantar.

Akan tetapi, hasrat beliau untuk marah hilang serta merta selepas mengetahui penghantar makanan berjalan kaki dan tidak menggunakan kenderaan seperti penghantar yang kita ketahui.

Ketika ditanya adakah penghantar makanan tidak mempunyai motosikal, beliau menegaskan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli kenderaan dan sebab itu beliau menghantar makanan dengan berjalan kaki.

Tinjauan di ruangan komen menyaksikan netizen kagum dengan kegigihan ‘walker’ tersebut dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan ketika menjalankan tugas.

Apa yang boleh dipelajari dari situasi ini ialah setiap dari kita mempunyai pilihan untuk menghadapi segala situasi dan juga cabaran yang hadir dalam hidup kita.