Dua pemain yang berpengkalan di luar negara, Wan Kuzain dan Kobe Chong berpotensi menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam perlawanan antarabangsa yang akan datang.

Laman frfuturetalents mendedahkan kedua-dua pemain itu kini dalam proses untuk mendapatkan pasport Malaysia dan urusan dokumentasi semakin hampir selesai.

Kuzain kini beraksi bersama kelab MLS Next Pro, St Louis City SC 2 pernah sertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara namun khidmat beliau gagal digunakan untuk saingan Sukan SEA 2019 disebabkan oleh masalah dokumentasi.

Bagaimanapun, bapa kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kamal memberikan isyarat bahawa anaknya bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya tidak lama lagi.

“Kuzain akan tiba tidak lama lagi,” dedah Wan Kamal kepada seorang peminat bernama Abrar Sadiq di laman Facebook.

Sebelum ini, abangnya, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang mengesahkan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pun menghubungi Wan Kuzain.

“Banyak komen biadab daripada haters yang terpaling bola. FAM sudah pun berhubung dengan Wan Kuzain untuk sarung jersi Harimau Malaya,” tulis Wan Fayhsal ketika menjawab komen daripada penyokong bola sepak tempatan di laman X.

Sementara itu, Kobe Chong mengumumkan beliau akan pulang ke Malaysia pada bulan Jun ini dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan dokumentasi untuk mendapatkan pasport negara.

Pemain berusia 21 tahun ini sering memberi bayangan beliau berminat mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dan kini intai peluang dipanggil oleh Kim Pan-gon.

Kobe Chong ketika ini beraksi bersama kelab bawahan England iaitu Kettering Town selepas beliau meninggalkan Barwell FC pada Februari lalu.

Pada penampilan pertamanya menentang Redditch United pada November tahun lalu, pemain berusia 21 tahun itu mencipta satu jaringan dan satu assist bagi membantu Barwell memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1.

Sejak musim 2022/23, Kobe banyak beraksi bersama kelab bawahan England seperti Telford United, Nuneaton, Alvechurch, King’s Lynn Town dan Barwell.