Peminat bola sepak tempatan kemungkinan akan menyaksikan kelibat Wan Kuzain Wan Kamal bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Nama Wan Kuzain kembali menjadi bualan warga maya di laman sosial hari ini apabila abangnya, Wan Ahmad Fayhsal mengesahkan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pun menghubungi pemain yang berpengkalan dari Amerika Syarikat itu.

Baca Juga:

“Banyak komen biadab daripada haters yang terpaling bola. FAM sudah pun berhubung dengan Wan Kuzain untuk sarung jersi Harimau Malaya,” tulis Wan Fayhsal ketika menjawab komen daripada penyokong bola sepak tempatan di laman X.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi mangsa cemuhan segelintir penyokong bola sepak tempatan yang tidak puas hati dengan tindakan beliau memperlekeh panggilan ke skuad Malaysia suatu ketika dahulu.

Namun disebalik cemuhan yang diterima Wan Kuzain, masih ramai peminat tetap memberikan sokongan kepada pemain tengah St Louis City SC 2 itu untuk menyarung jersi Malaysia.

Wan Kuzain pernah sertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara namun khidmat beliau gagal digunakan untuk saingan Sukan SEA 2019 disebabkan oleh masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.

Bagaimanapun, bapa kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kamal memberikan isyarat bahawa anaknya bakal menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya tidak lama lagi.

“Kuzain akan tiba tidak lama lagi,” dedah Wan Kamal kepada seorang peminat bernama Abrar Sadiq di laman Facebook.

Mungkin dalam masa terdekat, nama Wan Kuzain akan berada dalam senarai panggilan ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan berdepan Oman dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan Mac ini.