Pasangan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik seperti diketahui telah mencipta sensasi dengan tiga kejuaraan dimenangi dalam empat aksi final dihadapi pada 2025.
Bermula dengan kejayaan muncul juara Kejohanan Asia di Ningbo, China, gandingan tersebut mengungguli pula Terbuka Thailand dan menjadi naib juara Malaysia Masters, dua minggu lalu,
Baca Juga:
- Serap Tekanan Dengan Baik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik Muncul Juara Terbuka Singapura 2025
- Soh Wooi Yik Dedah Sentuhan Kelas Dunia Herry Iman Di Sebalik Transformasi Permainan Bersama Aaron
- Kejuaraan Berganda Buat Malaysia, Aaron-Wooi Yik Turut Ungguli Terbuka Thailand 2025
Semalam satu lagi kejayaan manis dilakarkan pasangan ranking ketiga dunia itu apabila menewaskan Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada perlawanan akhir untuk menjuarai Terbuka Singapura yang berstatus Super 750.
Dengan pencapaian menarik itu, Aaron-Wooi Yik bukan sahaja mengukuhkan status mereka sebagai antara beregu paling konsisten pada ketika ini, malah turut membawa pulang jumlah wang kemenangan yang cukup lumayan.
Kejayaan di Ningbo pada 13 April lalu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $37,000 ($29,600 selepas cukai sebanyak 20 peratus dikenakan).
Kemudiannya, Aaron dan Wooi Yik menerima hadiah bernilai $37,525 ($35,648.75 selepas cukai 5 peratus) selaku juara Terbuka Thailand dan disusuli $18,050 selaku naib juara Malaysia Masters.
Kemenangan terbaharu di Terbuka Singapura itu pula menjadikan hadiah tertinggi dimenangi oleh mereka dengan menerima sebanyak $74,000.

Jumlah wang tunai keseluruhan diterima oleh Aaron dan Wooi Yik hanya untuk empat kejohanan tersebut adalah bernilai $157,298.75 yang bersamaan dengan tukaran terkini iaitu RM669,577.84.
Ia tidak termasuk wang tunai diterima selepas kemaraan mereka ke pentas separuh akhir Terbuka India (Super 750) dan Indonesia Masters (Super 500).
Hadiah Wang Tunai Tak Datang Dengan Mudah
Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk ‘menyibuk’ dengan hadiah yang dimenangi oleh Aaron-Wooi Yik.
Tetapi, ia mampu menjadi inspirasi buat atlet muda tanpa mengira apa juga sukan bahawa dengan kerja keras, disiplin dan fokus mampu membawa pulangan yang bukan sahaja membanggakan negara tetapi juga menjamin masa depan mereka sendiri.
Apa yang dikecapi dan dinikmati oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak hadir dengan sekelip mata.
Ia adalah hasil kerja keras tanpa henti, dedikasi berterusan serta semangat kental untuk sentiasa menjadi lebih baik di pentas dunia.
Mereka juga bangkit daripada kecaman hebat yang pernah diterima sewaktu tidak berada di prestasi terbaik serta tersingkir awal daripada persaingan seperti ketika All England 2025.
Semoga kejayaan mereka terus menyemarakkan semangat atlet Malaysia lain untuk berani bermimpi besar, bekerja keras dan percaya bahawa usaha tanpa kompromi pasti membuahkan hasil.