Terkejut besar seorang ibu di China apabila mendapati anak perempuannya telah berubah secara drastik setelah pulang dari melanjutkan pelajaran di Malaysia, dan perubahan itu jauh dari jangkaan ibunya.

Wanita itu bercerita lanjut bagaimana pada awalnya perangai anak perempuan sebelum sambung belajar di Malaysia.

Sewaktu di China, anak perempuannya adalah seorang yang amat mementingkan gaya, gemar berfesyen, aktif membeli-belah, dan mempunyai koleksi kasut yang sering bertukar ganti.

Sebelum ini, rutin hariannya ialah bertemu rakan-rakan untuk café-hopping dan bergambar.

Wanita China Bingung, Anak Jadi 'Kaki Mamak' Dan Cuma Pakai Selipar Selepas Pulang Dari Malaysia
Sumber Gambar: come4buyeshop

Namun, setelah pulang dari Malaysia, gaya pilihannya kini hanyalah seluar pendek, baju-T, dan selipar. Aksesori fesyennya yang tinggal hanyalah patung lembut yang digantung pada beg tote-nya.

mamak
Sumber Gambar: Penang Insinder

Wanita itu menyatakan anak perempuannya dahulu lebih gemar makan di restoran mewah dan kafe berfesyen. Namun kini, dia asyik memuji makanan mamak, nasi campur berharga RM10, malah bufet durian.

“Semasa di sini (China), dia tidak pernah kisah tentang tambang teksi atau cuaca. Tetapi selepas tinggal di Malaysia, setiap kali hujan, perkara pertama yang dia akan katakan ialah: ‘Aduh, tambang akan naik. Kena bandingkan dulu sebelum tempah.'”

Malah, cara percakapannya juga telah berubah. Ketika sedang berbual dalam dialek tempatan, dia tiba-tiba akan menyelitkan slanga Malaysia seperti “liao” dan “don’t know lah.”

Ibu itu turut berkongsi bahawa anak perempuannya sering terjaga dari tidur pada tengah malam kerana terlalu tertekan memikirkan tugasan universiti.

Ibu itu mengakhiri perkongsiannya dengan menyatakan beliau terkejut melihat betapa besarnya perubahan anak perempuannya selepas hanya belajar di Malaysia. Beliau malah bertanya di alam maya: “Tolonglah, ada sesiapa yang boleh ajarkan saya cara untuk pulihkan keadaan ini?”